KPT tidak bercadang tangguh kemasukan pelajar di IPT berikutan peningkatan kes COVID-19

KPT tidak bercadang tangguh kemasukan pelajar di IPT berikutan peningkatan kes COVID-19

SHAH ALAM,. Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) tidak bercadang untuk menangguhkan atau membatalkan sesi pengajian di universiti awam dan institut pengajian tinggi di seluruh negara susulan peningkatan jumlah kes positif COVID-19 setakat ini.

Menterinya, Datuk Dr Noraini Ahmad (gambar) berkata ini kerana KPT telah menyediakan prosedur operasi standard (SOP) dan garis panduan yang perlu dipatuhi oleh setiap universiti dan kolej awam di seluruh negara bagi mengekang penularan wabak berkenaan.

“Kita telah ada SOP serta garis panduan untuk kemasukan pelajar bagi sesi pengajian tahun ini dan diharapkan semua pihak patuh kepada SOP berkenaan.

“Malah di Sabah juga, kita akan teruskan kemasukan pelajar seperti yang dijadualkan kerana bukan semua tempat di sana dikategorikan kawasan merah. Universiti Malaysia Sabah (UMS) pula terletak di Kota Kinabalu dan kawasan itu bukan kawasan merah.

“Bagaimanapun, KPT akan sentiasa berhubung dengan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan akan mematuhi segala nasihat dan arahan KKM,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan program ‘UiTM Prihatin’ di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas sama ada KPT akan menangguhkan pendaftaran pelajar bagi sesi pengajian tahun ini berikutan peningkatan mendadak kes COVID-19 terutamanya di Sabah.

Turut hadir pada majlis berkenaan adalah Naib Canselor Universiti Teknologi Mara (UiTM) Prof Emeritus Datuk Dr Mohd Azraai Kassim.

Terdahulu, Noraini dalam ucapannya pada majlis berkenaan berkata pelbagai program telah dilaksanakan kerajaan bagi memberikan peluang yang saksama kepada rakyat untuk melanjutkan pelajaran.

Mengambil contoh UiTM katanya, institusi yang memacu pendidikan tinggi bumiputera itu secara tidak langsung telah membantu memajukan dan memberi sumbangan kepada pembangunan sosioekonomi masyarakat khususnya golongan berpendapatan rendah (B40) serta negara.

Sementara itu, Mohd Azraai dalam ucapannya pula berkata program UiTM Prihatin merupakan satu siri jelajah ke seluruh negara bagi membantu meluaskan akses pendidikan tinggi kepada para pelajar terutamanya daripada golongan B40.

Katanya program yang sebelum ini dikenali sebagai ‘Mengubah Destini Anak Bangsa’ pada 2010 telah memberi manfaat kepada kira-kira 43,000 orang pelajar kurang berkemampuan.

– Bernama

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )