KPWKM sasar 10,000 peserta ambil KAP sehingga hujung tahun ini

KPWKM sasar 10,000 peserta ambil KAP sehingga hujung tahun ini

KOTA BHARU,. Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) menyasarkan penyertaan 10,000 peserta bagi mengikuti Kursus Asuhan dan Didikan Awal Kanak-Kanak Permata (KAP) sehingga hujung tahun ini.

Timbalan Menterinya Datuk Siti Zailah Mohd Yusoff berkata setakat ini, kira-kira 2,000 individu khususnya membabitkan golongan ibu tunggal dan B40 telah mendaftar bagi mengikuti kursus berkenaan di bawah Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA) yang dilancarkan pada Jun lepas dalam usaha kerajaan menangani kesan terhadap ekonomi susulan pandemik COVID-19.

“Di bawah PENJANA ini, mana-mana peserta akan diberikan kursus latihan secara percuma sama ada menerusi kelas khusus ataupun secara dalam talian berbanding bayaran RM900 yang dikenakan sebelum ini.

“Insentif ini diberikan bagi membantu golongan ibu tunggal dan B40 yang kehilangan pekerjaan akibat pandemik COVID- 19 bagi memberi kemahiran kepada mereka dan dalam masa yang sama, dapat melahirkan lebih ramai usahawan dalam bidang penjagaan kanak-kanak,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Penutup Kursus Asuhan dan Didikan Awal Kanak-kanak Permata Untuk Golongan B40 dan Ibu Tunggal siri 3/2020 yang turut dihadiri Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Keluarga dan Wanita negeri Datuk Mumtaz Md Nawi di sini, semalam. — Bernama

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)