KR19 capai objektif perkenal negara rahmah – Mujahid

KR19 capai objektif perkenal negara rahmah – Mujahid

PUTRAJAYA,. Karnival Rahmah (KR19) yang pertama kali dianjurkan berjaya dalam objektifnya memperkenalkan konsep negara rahmah berasaskan Rahmatan Lil Alamin kepada masyarakat.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof berkata dengan konsep ‘edutainment’ KR19 berjaya menarik kehadiran pelbagai kaum sekaligus berpeluang mendapat pendedahan dan menghayati gagasan pentadbiran Islam yang dibawa kerajaan hari ini.

Beliau berkata, kehadiran lebih 100,000 pengunjung termasuk kalangan bukan Islam sepanjang karnival tiga hari itu membuktikan konsep negara Rahmah yang cuba dibawa mula diterima masyarakat pelbagai kaum.

“KR19 adalah karnival terbesar yang dianjurkan Pakatan Harapan (PH) selepas menjadi kerajaan yang mana antara lain turut menggagaskan pentadbiran kerajaan berteraskan negara rahmah.

“Melalui KR19 kita menjelaskan kepada rakyat berkenaan hasrat kerajaan baharu, khususnya dalam aspek pentadbiran Islam iaitu negara rahmah di mana terasnya adalah Rahmatan Lil Alamin,” katanya pada sidang penutupan karnival itu di sini, pada Ahad.

Turut hadir, Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) Datuk Mohamad Nordin Ibrahim dan Pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) Mohd Ajib Ismail, yang juga pengarah karnival.

Mujahid berkata, dengan menampilkan 29 acara, karnival tiga hari itu juga berjaya dalam misinya menepis prasangka buruk dan seruan kebencian sesama kaum yang dimainkan pihak tidak bertanggungjawab.

Kehadiran 20 peratus masyarakat bukan Islam juga bukti jelas rakyat lebih cenderung kepada kedamaian, satu daripada intipati negara rahmah, katanya.

Untuk rekod, konsep RAHMAH yang diketengahkan di bawah gagasan Rahmatan Lil Alamin meliputi R iaitu Ramah, A (Aman), H (Harmoni), M (Mesra), A (Alami) dan H (Hormat).

Mujahid berkata dengan sambutan yang diterima, pihaknya bersedia menjadikan penganjuran karnival itu sebagai acara tahunan selain dianjurkan dalam skala kecil di setiap negeri.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )