Kredit Mikro: Usahawan muda wanita wajar manfaat peruntukan RM95 juta

Kredit Mikro: Usahawan muda wanita wajar manfaat peruntukan RM95 juta

TAWAU, 8 Nov — Peruntukan RM95 juta bagi pembiayaan kredit mikro khas yang diumumkan dalam Belanjawan 2021 bagi memperkasa usahawan wanita wajar dimanfaatkan usahawan belia wanita di Sabah.

Pembantu Menteri Belia dan Sukan Sabah Andi Muhammad Suryady Bandy berkata peluang itu membolehkan usahawan wanita menjana pendapatan lebih baik dengan pinjaman yang disediakan melalui TEKUN dan Agrobank.

“Kerajaan menyediakan pelbagai platform bagi membantu belia termasuk meningkatkan ilmu keusahawanan mahupun menyediakan perolehan modal.

“Pembangunan usahawan ini sekali gus akan membantu kerajaan mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Pembiayaan kredit mikro khas itu juga disediakan melalui Majlis Amanah Rakyat (Mara).

Beliau berkata selain itu, penambahbaikan inisiatif pengambilan pekerja di bawah Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) yang dikenali PenjanaKerjaya mendorong pekerja tempatan bekerja dalam sektor pembinaan dan perladangan.

“Insentif khas sebanyak 60 peratus daripada gaji bulanan disediakan dengan 40 peratus disalurkan terus kepada majikan dan 20 peratus kepada pekerja tempatan yang menggantikan pekerja asing, insentif enam bulan ini adalah dorongan untuk pekerja tempatan mencuba industri pekerjaan kotor, bahaya dan sukar (3D).

“Sabah memiliki kawasan tanaman komoditi seperti kelapa sawit, antara yang terluas di Malaysia, ladang sawit ini banyak namun pekerja tempatan kurang berminat untuk bekerja dalam sektor ini sehinggakan pemilik ladang mengupah pekerja asing dan dengan penambahbaikan inisiatif PenjanaKerjaya ini, dapat menarik minat pekerja tempatan,” katanya.

Andi berkata susulan senario COVID-19 ketika ini, sebarang kemasukan pekerja asing dihentikan dan hanya menggunakan pekerja asing yang memiliki pas kerja sedia ada namun tidak mencukupi.

“Sebab itu kerajaan mengambil inisiatif ini dan saya perlu sokong dengan pelaksanaan pemberian insentif 60 peratus kerana jika kerja-kerja di ladang kelapa sawit terjejas, ia akan turut mengganggu industri hiliran sawit,” katanya.

Beliau juga berharap pengumuman mengenai perkhidmatan bank bergerak di kawasan luar bandar di Sabah dapat dilaksanakan segera.

“Sabah memerlukannya, inisiatif ini cukup dekat di hati rakyat kerana bakal memudahkan rakyat,” katanya.

— BERNAMA

CATEGORIES
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )