Krisis dalaman PKR: Zuraida pula minta Anwar bertenang
KUANTAN,. Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan semua ahli parti dimintakan agar sama-sama bertenang dan berhenti membuat kenyataan terbuka berikutan krisis dalaman parti itu.
Naib Presidennya, Zuraida Kamaruddin berkata, semua kepimpinan dan ahli parti tidak perlu mengeruhkan lagi situasi yang berlaku pada ketika ini.
Zuraida berkata, pihak yang tidak terlibat dengan parti juga tidak sewajarnya mengapi-apikan krisis dalaman yang sedang dilalui parti itu kini.
“Sebab itu jika ada soalan bertanya, saya kata Presiden, saya perlukan masa untuk bertenang dan jadi sudah eloklah untuk semua orang bertenang. Tidak payahlah pihak-pihak yang tidak terlibat, ada kepentingan, tidak ada penglibatan dengan parti dan sebagainya tidak payahlah buat komen.
“Kalau mereka buat komen maknanya mereka ada kepentingan sendiri,” katanya pada sidang media selepas melancarkan rumah mampu milik Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB) yang akan dibangunkan di Taman Mahkota Aman 2 Kuantan.
Zuraida berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai kumpulan veteran gerakan reformasi 1998 Otai Reformis yang menyerahkan memorandum mendesak tindakan diambil terhadap Timbalan Presiden, Azmin Ali dan pasukannya.
Dalam pada itu, Zuraida berkata, dia bersedia pada bila-bila masa sekiranya dipanggil Lembaga Disiplin parti itu.
Semalam, Anwar mengarahkan semua pihak menggunakan saluran dalaman dan berhenti membuat kenyataan terbuka berkaitan perbalahan dalaman namun beliau tidak merujuk mana-mana kenyataan secara khusus.