Ku Nan cuti sakit, prosiding bela diri tangguh 18 feb

Ku Nan cuti sakit, prosiding bela diri tangguh 18 feb

KUALA LUMPUR,. Prosiding membela diri Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor terhadap pertuduhan menerima suapan RM2 juta daripada seorang ahli perniagaan hari ini, ditangguhkan kepada 18 Feb kerana bekas Menteri Wilayah Persekutuan itu mengalami kecederaan pada lutut kanan berikutan terjatuh selepas memberi keterangan Jumaat lepas.

Tengku Adnan, 69, terjatuh ketika sedang menuruni tangga di kandang saksi setelah selesai memberi keterangan di Mahkamah Tinggi di sini.

Peguam Datuk Tan Hock Chuan yang mewakili Tengku Adnan memberitahu Hakim Mohamed Zaini Mazlan bahawa anak guamnya diberi cuti sakit selama enam hari mulai 17 Jan lepas.

“Anak guam saya mengalami kecederaan pada lutut kanan dan hasil pemeriksaan melalui CT Scan (imbasan tomografi berkomputer) mendapati beliau tidak mengalami kecederaan yang serius.

“Pihak kami memohon maaf di atas kesulitan dan meminta prosiding perbicaraan dilapangkan,” katanya.

Sepatutnya, hari ini dan esok ditetapkan untuk Tengku Adnan menyambung keterangan secara bersumpah di kandang saksi selepas Mahkamah Tinggi pada 14 Okt lepas memerintahkannya membela diri atas pertuduhan menerima suapan RM2 juta daripada Tan Sri Chai Kin Kong yang juga Pengarah Urusan Aset Kayamas Sdn Bhd (AKSB).

Timbalan Pendakwa Raya Julia Ibrahim tidak membantah penangguhan perbicaraan kes itu.

Hakim Mohamed Zaini menetapkan 18 hingga 20 Feb, 4 dan 5 Mac serta 25 hingga 27 Mac untuk perbicaraan.

Mengikut pertuduhan, Tengku Adnan sebagai seorang penjawat awam iaitu Menteri Wilayah Persekutuan didakwa menerima untuk dirinya wang berjumlah RM2 juta daripada Chai, 61, melalui cek Hong Leong Islamic Bank milik AKSB yang telah didepositkan ke dalam akaun bank CIMB milik Tadmansori Holdings Sdn Bhd (THSB) yang beliau mempunyai kepentingan, yang diketahui syarikat Aset Kayamas ada perhubungan dengan kerja-kerja rasminya.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di CIMB Bank Berhad, Cawangan Pusat Bandar Damansara, di sini pada 14 Jun 2016.

Pertuduhan mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan, yang membawa hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )