Kuala Kangsar dilanda banjir kilat, 104 dipindahkan ke PPS

IPOH,. Seramai 104 orang daripada 20 keluarga di beberapa buah kampung di Kuala Kangsar dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS) selepas rumah mereka ditenggelami air akibat hujan lebat semalam.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Perak berkata pihaknya mula menerima panggilan mengenai kejadian banjir kilat di Kampung Lembah Padang Rengas pada 10.09 malam tadi.

“Setibanya di tempat kejadian didapati kawasan itu dinaiki banjir setinggi satu meter,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Menurut jurucakap itu, seramai 39 mangsa merangkumi tujuh keluarga dari kawasan tersebut dipindahkan ke Asrama RISDA Padang Rengas, manakala tujuh lagi keluarga juga dengan 39 mangsa dibawa ke Dewan Orang Ramai Kampung Stor.

Sementara itu, banjir kilat di Kampung Talang Ulu dan Kampung Talang Hilir menyaksikan 26 mangsa daripada enam keluarga dipindahkan ke Dewan Orang Ramai Kampung Talang Masjid, katanya.

“Air sudah surut, namun pemantauan masih dijalankan,” katanya.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )