Kualiti aset industri perbankan kekal mantap – RAM Ratings

Kualiti aset industri perbankan kekal mantap – RAM Ratings

KUALA LUMPUR,. Kualiti aset industri perbankan Malaysia kekal mantap dan berdaya tahan, dengan nisbah pinjaman terjejas kasar (GIL) sebanyak 1.72 peratus dalam sistem pada akhir September 2023, tidak berubah daripada akhir Disember 2022, kata RAM Ratings pada Khamis.

Menurut Banking Quarterly Roundup, bagi suku ketiga 2023, ia berkata perbelanjaan peruntukan yang lebih rendah diimbangi oleh perbendahaan yang lebih lemah dalam tempoh suku itu dan pendapatan berkaitan pasaran manakala margin faedah bersih kekal stabil berbanding suku sebelum itu.

RAM berkata, pengumuman keputusan suku yang terbaharu itu menunjukkan keuntungan bank masih kukuh secara keseluruhannya, dengan purata pulangan sebelum cukai aset lapan bank tempatan terpilih berada pada 1.37 peratus berbanding 1.39 peratus pada suku kedua 2023 dan 1.42 peratus pada 2022.

“Pada suku ketiga 2023, purata nisbah kos kredit lapan bank itu meningkat kepada 19 mata asas (bps) suku ke suku (suku kedua 2023: 25 bps; 2022: 29 bps). Walaupun kami terus menyaksikan pelepasan tindanan pengurusan di beberapa buah bank, sebahagian besar peruntukan yang dibina ketika pandemik sama ada dikekalkan atau diserahkan semula kepada pelbagai portfolio pinjaman.

“Bank menilai dengan berhemat landskap makroekonomi sebelum menentukan jumlah jika terdapat kemasukan pengiraan semula,” kata Ketua Bersama Penarafan Institusi Kewangan RAM, Wong Yin Ching.

Agensi penarafan itu berkata, ansuran pinjaman yang lebih tinggi dan tekanan kos yang meningkat mungkin menyebabkan peningkatan dalam tunggakan pada suku tahun akan datang, berpunca daripada akaun bank peminjam, terutamanya daripada mereka yang mempunyai kadar hutang tinggi atau perusahaan kecil dan sederhana dalam sektor perniagaan yang terdedah.

“Bagaimanapun, kami menjangkakan kemerosotan itu boleh diurus, menjangkakan nisbah GIL industri di bawah 2.0 peratus pada 2023. Keupayaan membayar hutang peminjam individu terus disokong oleh keadaan pasaran buruh yang kukuh; kadar pengangguran pada 3.4 peratus, yang hampir dengan tahap sebelum pandemik,” katanya.

–BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)