Kuarantin wajib: Tempoh dua hari jalani saringan Covid-19 atau didakwa – Ismail Sabri

Kuarantin wajib: Tempoh dua hari jalani saringan Covid-19 atau didakwa – Ismail Sabri

KUALA LUMPUR,. Kerajaan memberi tempoh dua hari sehingga esok kepada 2,897 individu dikuarantin wajib di rumah yang masih gagal menjalani ujian saringan Covid-19 kali kedua pada hari ke-13 kuarantin untuk berbuat demikian.
Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, sekiranya mereka gagal berbuat demikian dalam tempoh dua hari ini, mereka akan ditahan, direman dan dihadapkan ke mahkamah.

“Tiada lagi kompromi, amaran dan nasihat kerana mereka boleh membahayakan nyawa orang lain. Kalau degil juga pada Isnin polis akan tangkap dan tahan mereka … tiada kompaun, charge (dakwa) di mahkamah terus,” katanya pada sidang media mengenai perkembangan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) di Pusat Dagangan Dunia Putra, di sini hari ini.

Ismail Sabri berkata, perkara itu dipersetujui dalam Mesyuarat Khas Menteri-menteri berkenaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di Pejabat Perdana Menteri, di Putrajaya hari ini.

“Kerajaan memandang serius perkara ini kerana ada kes lepas mendapati ada antara mereka (individu dikuarantin wajib di rumah) yang positif pada hari ke-13 dan kita takut mereka potong sendiri wristband. Kita nak ingatkan bahawa kita ada (maklumat) nama dan alamat mereka,” tegasnya.

Beliau juga berkata, secara keseluruhan, seramai 9,600 individu masih menjalani proses kuarantin wajib di rumah masing-masing.

“Pegawai Kementerian Kesihatan (KKM) bersama anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan membuat pemeriksaan mengejut bagi memastikan semua yang terlibat mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan,” katanya.

Ismail Sabri berkata, semua individu terbabit boleh menghubungi Pejabat Kesihatan Daerah terdekat untuk melakukan ujian saringan Covid-19 kali kedua.

“Pihak KKM juga boleh datang ke rumah mereka untuk menjalankan ujian tersebut,” tambahnya.

–BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )