KUB lupus KUBAH Estate kepada Beradin Plantation

KUALA LUMPUR,. KUB Agro Holdings Sdn Bhd (KUBAH), unit kepada KUB (M) Bhd, telah melupuskan KUBAH Estate dengan nilai RM158 juta kepada Beradin Plantation Sdn Bhd, sebuah syarikat pelaburan hartanah.

KUBAH Estate terdiri daripada dua bahagian iaitu Kahang Estate dan Sungai Yong Estate, kedua-duanya terletak di bahagian timur laut bandar Kluang di Johor.

“Pertimbangan bagi pelupusan itu dipersetujui oleh kedua-dua pihak,” kata KUB dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini.

Selain itu, nilai buku agregat bersih estet-estet berkenaan iaitu RM16.54 juta adalah berdasarkan kepada kenyataan kewangan disatukan KUB yang telah diaudit (terkini) untuk tahun kewangan berakhir 31 Dis, 2019, kata KUB dalam makluman kepada Bursa Malaysia.

“Tambahan pula, nilai pasaran KUBAH Estate iaitu RM156.0 juta telah dinilai oleh C H Williams,” katanya.

Mengenai rasional kepada pelupusan berkenaan, KUB menjelaskan nilai pasaran KUBAH Estate telah meningkat sejak bertahun-tahun.

“Sehubungan itu, kumpulan kami berada dalam kedudukan untuk merealisasikan keuntungan besar daripada KUBAH Estate dan pada masa sama mengukuhkan kedudukan kecairan dan aliran tunainya menerusi pelupusan ini.

“Lagi pun, pelupusan ini memberikan peluang untuk menjual KUBAH Estate melebihi nilai pasaran seperti yang dinyatakan oleh C H Williams,” katanya.

Selain daripada KUB berada dalam kedudukan tunai yang lebih kukuh hasil daripada pelupusan, kumpulan ini juga dapat mengelakkan daripada menanggung perbelanjaan modal yang besar untuk KUBAH Estate dalam bergerak ke hadapan kerana sebahagian besar kelapa sawitnya telah dikategorikan sebagai tua dan perlu dibersihkan dan ditanam semula secara berperingkat pada tahun-tahun mendatang.

Jumlah anggaran perbelanjaan modal untuk pembersihan, penanaman semula serta infrastruktur tambahan serta penyelenggaraan KUBAH Estate dijangka menelan belanja sekitar RM39.1 juta.

“Pihak lembaga menjangkakan ia mengambil masa sekurang-kurangnya empat tahun selepas setiap fasa penanaman semula sebelum KUBAH Estate dapat memberi sumbangan bermakna kepada kumpulan kami,” katanya.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )