Kurang 30 peratus pengusaha bas mohon penstrukturan semula pembayaran ansuran – Rosol

Kurang 30 peratus pengusaha bas mohon penstrukturan semula pembayaran ansuran – Rosol

KUALA TERENGGANU,. Pengusaha bas yang terbeban dengan pembiayaan bas dan hutang sewaan berikutan penularan pandemik COVID-19 diseru supaya segera memohon penstrukturan semula pembayaran ansuran daripada institusi perbankan dan syarikat kredit mereka.

Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Datuk Rosol Wahid berkata sejak Rang Undang-Undang (RUU) Langkah-Langkah Sementara Bagi Pembiayaan Kerajaan (Penyakit Koronavirus 2019 (Covid-19)) 2020 bagi membantu golongan terkesan oleh COVID-19 diwartakan pada Disember tahun lepas, hanya sekitar 25 peratus atau 267 pengusaha bas memohon penstrukturan semula itu.

“Terdapat lebih 1,000 syarikat pengusaha bas di seluruh negara namun jumlah yang telah memohon penstrukturan semula ini tidak sampai 30 peratus. Hasil analisis mendapati sebanyak 75 peratus syarikat pengusaha bas belum membuat permohonan tersebut.

“Jumlah ini cukup rendah jika dibandingkan dengan masalah yang mereka hadapi. Jadi kita berharap mereka (pengusaha bas) yang bermasalah ini datang berbincang dengan institusi perbankan atau syarikat kredit,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Agung Pengusaha Bas Anak Terengganu Tahun 2021, di sini hari ini.

Katanya daripada 267 syarikat pengusaha bas yang memohon penstrukturan semula, sebanyak 195 mendapat kelulusan manakala baki 74 syarikat gagal disebabkan pelbagai faktor seperti mempunyai hutang tertunggak yang tinggi sebelum ini.

Dalam pada itu Rosol berkata pihak persatuan pengusaha bas seluruh negara perlu memainkan peranan penting menguar-uarkan kemudahan penstrukturan bayaran ansuran tersebut agar lebih ramai pengusaha bas dapat menikmati bantuan yang diusahakan kerajaan berkenaan.

Katanya kerajaan melalui kementerian lain turut memainkan peranan masing-masing untuk membantu golongan berkenaan, antaranya melalui Skim Rehabilitasi Sewa Beli Bas dan Teksi, Pakej Bantuan Perlindungan Ekonomi dan Rakyat Malaysia (PERMAI), kelonggaran syarat peminjam, pemberian pengecualian 50 peratus daripada semua caj faedah dan pembayaran serta mewujudkan Pusat Mediasi Covid (PMC).

Selain itu katanya penstrukturan semula tersebut juga bertujuan mengelakkkan pemilikan semula kenderaan mereka oleh pihak institusi perbankan dan syarikat kredit apabila pembayaran ansuran tidak dibuat.

— Bernama

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )