Kurangkan birokrasi, lebih inklusif bagi manfaatkan bakat muda – Hannah Yeoh

Kurangkan birokrasi, lebih inklusif bagi manfaatkan bakat muda – Hannah Yeoh

KUALA LUMPUR,. Bagi membolehkan pemimpin muda di Asia Pasifik menunjukkan bakat dan keupayaan sebenar mereka di peringkat dunia, golongan ini sewajarnya dimasukkan dalam sistem pemprosesan yang relevan dengan pembangunan mereka, kata Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Hannah Yeoh.

Beliau berkata birokrasi perlu dikurangkan kepada minimum untuk membolehkan pemimpin muda menzahirkan kualiti kepimpinan mereka.

“Kurangkan birokrasi jika boleh dan juga lebih inklusif supaya kita dapat memanfaatkan bakat mereka. Mengenal pasti perkara yang menghalang individu daripada sistem proses yang sedang diusahakan dan menggalakkan mereka untuk turut serta.”

Pada sesi pleno bertajuk, “Kami Adalah Masa Depan: Kemajuan dan Kemungkinan di Asia Pasifik’, yang diadakan bersempena dengan Yayasan Kepimpinan Obama : Program Asia Pasifik yang sulung, beliau menyatakan lebih daripada 60 peratus penduduk dunia tinggal di Asia Pasifik.

Asia Pasifik, menawarkan kumpulan pemimpin muda yang berpotensi dengan bakat besar.

“Kita perlu belajar meraikan kepelbagaian yang sangat baik dalam kawasan ini. Salah satu perkara yang anda boleh lakukan bagi memudahkan pertumbuhan, dalam bidang pengaruh anda, adalah kepekaan untuk menghapuskan halangan bagi menggalakkan penyertaan orang yang lebih besar yang bekerja dengan anda,”katanya lagi.

Program yang dianjurkan oleh Yayasan Obama itu menghimpunkan seramai 200 pemimpin yang sedang menyerlah dari 33 negara dan wilayah di seluruh rantau ini.

Lain-lain anggota panel semasa sesi tersebut terdiri daripada Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) dan Pengasas Miniwiz Co Ltd dari Taiwan Arthur Huang serta Pengarah Hal Ehwal Luar Green Climate Fund Dr Oyun Saanjasuren. Harun Maniam, yang merupakan anggota Perkhidmatan Pentadbiran Singapura menjadi moderator.

Sementara itu, Yeoh berkata, memandangkan kepelbagaian demografi di rantau ini khususnya dalam pengurusan pelbagai komuniti, hujah yang berkaitan dengan perbezaan kaum dan agama adalah hampir tidak dapat dielakkan.

Bagaimanapun, krisis seperti ini sebenarnya membentangkan peluang bagi paparan kisah-kisah kejayaan serta menunjukkan kepada seluruh dunia tentang bagaimana untuk “melakukannya dengan betul”.

“Sebagai contoh, bagaimana New Zealand memberi respons kepada kejadian tembah-menembak Christchurch (15 Mac 2019). Perdana Menteri Jacinda Ardern bertindak dengan cara yang amat baik dalam menguruskan krisis dan membantu negara itu pulih,” katanya.

Timbalan Menteri itu sendiri melihat masa depan secara positif di segi pemerkasaan wanita dan belia di Asia Pasifik berdasarkan kepada trend kepimpinan wanita dalam politik, perniagaan dan sukan di peringkat antarabangsa.

Dalam hal ini, beliau memberi Ardern sebagai contoh terbaik dalam politik, yang dipilih sebagai Perdana Menteri New Zealand semasa beliau baru mencecah 37 tahun dan juara dunia skuasy dari Malaysia untuk sembilan tahun iaitu Datuk Nicol Ann David.

Yeoh selanjutnya menyebut jumlah ahli perniagaan muda yang semakin meningkat sehingga berjaya mencipta nama seperti CEO Kumpulan dan Pengasas Grab Anthony Tan, dan bekas CEO GoJek serta Menteri Pendidikan dan Kebudayaan Indonesia Nadiem Makarim.

“Saya amat optimistik mengenai apa yang rantau ini boleh tawarkan kepada dunia. Apa yang saya pesimistik adalah hakikat bahawa kita perlu mengatasi kelajuan media sosial. Kita perlu mula melengkapkan anak-anak kita dan golongan belia untuk menanganinya.

“Kerana di Asia segala-galanya berlaku dengan begitu pantas melalui teknologi yang berkembang dari China, Jepun dan Korea Selatan. Bolehkah anak kita dan generasi akan datang mengejar? Bolehkah nilai kita menangani trend ini?

“Saya berasa setiap negara perlu mula memperkasakan orang muda atau sekurang-kurangnya menyediakan satu macam sistem keselamatan bagi membantu mereka menangani kelajuan yang kita sedang hadapi sekarang ini,” tambah beliau.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)