KWSP gesa ahli manfaatkan Khidmat Nasihat Persaraan, bantuan kerajaan sedia Ada

KWSP gesa ahli manfaatkan Khidmat Nasihat Persaraan, bantuan kerajaan sedia Ada

KUALA LUMPUR,. Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) menggesa ahlinya untuk membuat janji temu dengan pegawai Khidmat Nasihat Persaraannya (RAS) untuk membantu merancang kewangan mereka, yang boleh mengambil kira semua bentuk bantuan yang ada dan membantu mereka melalui tempoh sukar ini.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Tunku Alizakri Alias berkata mengakses simpanan mereka dalam Akaun 1 tidak seharusnya menjadi satu-satunya cara untuk ahli mendapatkan tunai bagi menghadapi masa sukar.

Beliau berkata simpanan persaraan adalah insurans ahli untuk kesejahteraan masa depan mereka, dan membenarkan pengeluaran ini adalah sama dengan menjejaskan perlindungan tersebut.

“Kerajaan telah menyediakan pelbagai bantuan kewangan secara langsung melalui PRIHATIN, PRIHATIN SME+, PENJANA dan KITA PRIHATIN berjumlah RM55 bilion untuk B40 dan M40, serta kumpulan sasaran lain.

“Terdapat juga bantuan lain, seperti membenarkan akses kepada Akaun 2 KWSP melalui i-Lestari, dengan lebih RM11 bilion telah dikeluarkan kepada lebih 4.7 juta ahli sejak April tahun ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini mengingatkan pencarum akan berdepan masalah besar pada masa akan datang jika kerajaan membenarkan wang daripada Akaun 1 KWSP dikeluarkan.

Muhyiddin berkata beliau menyedari cadangan bagi pengeluaran wang Akaun 1 KWSP itu berikutan rakyat terbeban dengan impak ekonomi akibat COVID-19.

RAS merupakan sebahagian daripada pelan jangka panjang KWSP untuk meningkatkan penyampaian perkhidmatan dan membantu ahli mencapai persaraan yang mampan.

— BERNAMA

CATEGORIES
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)