KWSP harap pendapatan pelaburan bertambah baik dengan kestabilan ekonomi

KWSP harap pendapatan pelaburan bertambah baik dengan kestabilan ekonomi

SHAH ALAM,. Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) berharap pendapatan pelaburan kumpulan itu akan bertambah baik pada suku tahun seterusnya dengan perkembangan dan kestabilan ekonomi global yang berterusan, terutamanya di Malaysia.

Ketua Pegawai Eksekutifnya Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata isu seperti kenaikan kadar faedah yang mula mereda akan memberi peluang kepada dana pencen itu untuk menjana pulangan yang lebih baik pada suku-suku akan datang berbanding suku pertama berakhir 31 Mac, 2023.

“Seperti yang disarankan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, KWSP perlu melabur 70 peratus kepada kewangan yang dijana dalam pelaburan domestik dan kebiasaannya kita memang melabur.

“Maka, pada tahun ini, kita memang akan melabur lebih kurang 70 peratus bagi peluang pelaburan di dalam Malaysia dan bakinya kita akan melabur di luar negara,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Pelancaran Panduan dan Aplikasi Belanjawanku 2022/2023 di Menara KWSP, di sini, pada Selasa.

Pendapatan pelaburan KWSP naik tiga peratus kepada RM15.16 bilion pada suku pertama berakhir 31 Mac, 2023, daripada RM14.77 bilion yang dicatatkan dalam suku yang sama pada 2022.

Sementara itu, mengenai Panduan dan Aplikasi Belanjawanku, Amir Hamzah berkata, data yang diberikan adalah sebagai panduan kepada ahli KWSP dan juga rakyat Malaysia untuk melihat bentuk perbelanjaan yang diperlukan bagi keperluan harian.

“Kita berharap mereka dapat melihat kepada panduan dan aplikasi Belanjawanku dan dapat mengubah cara berbelanja dan mula ambil peluang untuk menambah simpanan masa depan. Ini sekadar memberi sokongan melalui aplikasi yang boleh menolong ahli KWSP,” katanya.

Aplikasi dan panduan tersebut mula diperkenalkan pada 2019 meliputi 11 bandar utama di seluruh negara yang memperincikan mengenai perbelanjaan minimum mengikut kategori isi rumah dan menyediakan cadangan tentang peruntukan perbelanjaan pilihan dan simpanan persendirian.

Sehingga Mei 2023, aplikasi Belanjawanku telah merekodkan jumlah muat turun sebanyak 12,000.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )