KyoChon 1991 Malaysia disahkan halal oleh JAKIM

KyoChon 1991 Malaysia disahkan halal oleh JAKIM

KUALA LUMPUR,. KyoChon 1991 Malaysia menjadi rangkaian ayam goreng Korea antarabangsa pertama yang mendapat pengiktirafan halal oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).

Ketua Pegawai Eksekutif KyoChon 1991 Malaysia Terry Goh berkata dengan pengiktirafan itu bermakna 15 restorannya kini disahkan halal oleh JAKIM iaitu 10 cawangan di Selangor, masing-masing dua di Johor dan Pulau Pinang serta satu di Negeri Sembilan.

Cawangan terlibat adalah di 1 Utama Shopping Centre, Sunway Pyramid, Setia City Mall, IPC Shopping Centre, IOI Mall Puchong, Central i-City, Bangi Seksyen 9, Bandar Botanik Klang, Prima Sri Gombak, Cheras Traders Square, Johor Bahru City Square dan The Mall Mid Valley Southkey, AEON Mall Nilai, Arena Curve Pulau Pinang dan Sentral Jaya Pulau Pinang.

Goh berkata memandangkan kepentingan memiliki pensijilan halal, semua restoran mereka telah pun menjalani proses pengauditan oleh JAKIM dan KyoChon 1991 Malaysia akan mengumumkan lebih banyak restoran yang disahkan halal tidak lama lagi.

Goh berkata pensijilan rasmi daripada JAKIM akan memberi jaminan kepada pelanggan mereka bahawa piawaian halal sentiasa menjadi keutamaan dan telah diamalkan dalam penyediaan sajian mereka.

“Pensijilan halal JAKIM merupakan matlamat penting untuk KyoChon 1991 sejak jenama ini dilancarkan di Malaysia pada Disember 2013. Kami amat bertuah kerana francaisor memberi sokongan penuh dan melabur untuk kilang automatik bernilai jutaan dolar bagi penghasilan sos dan perapan KyoChon 1991.

“Ini bermakna pelanggan KyoChon 1991 di Malaysia boleh menikmati rasa dan kualiti bahan yang sama seperti apabila menjamu selera di KyoChon 1991 di Korea kerana semua sos dan perapan berasal dari kilang halal yang sama,” katanya dalam kenyataan di sini pada Jumaat.

Beliau berkata KyoChon 1991 amat berterima kasih kepada rakyat Malaysia atas sokongan mereka membolehkan jenama itu berkembang kepada 35 cawangan di seluruh negara.

“Sebagai perintis rangkaian ayam goreng Korea di Malaysia, kami bersyukur kerana rakyat Malaysia telah menjadikan kami sebagai pengendali KyoChon 1991 yang paling berjaya di luar Korea.

“Kami ingin memberi jaminan kepada semua pelanggan bahawa kami sentiasa mematuhi piawaian makanan dan keselamatan tertinggi dan amat gembira kerana telah secara rasmi disahkan halal oleh JAKIM sebagai jenama yang boleh anda percayai,” katanya.

Untuk meraikan kejayaan itu, Goh berkata KyoChon 1991 Malaysia menawarkan potongan 15% bagi pengunjung yang menikmati sajian di cawangan, bawa pulang dan pesanan melalui web dari 12 Mei – 13 Jun 2023 (tiada perbelanjaan minimum diperlukan).

Sijil halal itu disampaikan oleh Ketua Penolong Pengarah Kanan JAKIM, Mohd Fakarudin Mas’od.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)