Lahar Cumbre Vieja mengalir ke lautan Atlantik, dibimbangi hasilkan gas beracun

LA PALMA: Lahar gunung berapi Cumbre Vieja yang meletus di kepulauan La Palma, Sepanyol dilapor mengalir ke Lautan Atlantik. Timbul kebimbangan dalam kalangan pakar berhubung pelepasan gas toksik dan letupan ketika wap putih berkepul naik apabila lahar mengalir ke laut di kawasan Playa Nueva.

Menurut pakar, pertembungan dua unsur ini boleh mencetuskan reaksi kimia membabitkan klorin yang boleh merengsa kulit dan mata selain mengganggu pernafasan, lapor BBC.

Ratusan rumah musnah sejak gunung berapi Cumbre Vieja di Kepulauan Canary meletus pada 19 September. Kira-kira 6,000 penduduk telah dipindahkan ketika lahar memusnahkan rumah, sekolah dan ladang pisang.

Institut Volkanik Kepulauan Canary dalam tweetnya mengesahkan lahar mula mengalir ke lautan lewat Selasa.

Selain pelepasan gas toksik, terdapat juga kebimbangan sebahagian daripada garis pantai berkemungkinan runtuh dan mencetuskan letupan. Pihak berkuasa Sepanyol telah mengisytiharkan La Palma – pulau paling utara di kepulauan di luar pesisir Afrika utara – sebuah zon bencana.

-Agensi

CATEGORIES
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )