Langgar perlembagaan, tidak bermoral, tarik sokongan, pecat Trump! – Christianity Today

Langgar perlembagaan, tidak bermoral, tarik sokongan, pecat Trump! – Christianity Today

AMERIKA SYARIKAT,. Sokongan dari golongan penganut agama Kristian untuk parti Republikan secara am dan pada Donald Trump secara khusus selalunya dikira sebagai satu kepastian.

Namun, pelbagai kontroversi yang menghantui pentadbiran Donald Trump sejak kemenangan Parti Repulikan pada 2016 menyebabkan ada dalam kalangan penyokong tegarnya yang menyuarakan rasa kurang selesa dengan sokongan tanpa persoalan ini.

Bantahan ini datangnya daripada pihak yang mungkin kurang disangka – apa tidaknya, apabila golongan Kristian evangelical (satu cabang Kristian gereja Protestan) yang kini terang-terang bersuara dengan nada sumbang.

Seminggu sebelum cuti Krismas, pengarang majalah Christianity Today Mark Galli menyuarakan sokongan terhadap usaha Kongres mengenakan tindakan mendakwa Donald Trump melalui satu paparan lidah pengarang.
Sehari sebelum Krismas, giliran Timothy Dalrymple – Presiden majalah yang sama – pula menerbitkan kritikan keras terhadap Donald Trump.

Trump disifatkan sebagai tidak bermoral, tamak, korup, memecah belah dan menggalakkan tindakan perkauman.

Dalrymple menyarankan agar kalangan pengikut tegar Kristian evangelical, kaji semula sokongan tidak berbelah bahagi terhadap Trump.

Majalah Christianity Today diasaskan tokoh Kristian Gereja evangelical terkenal Billy Graham pada tahun 1956.

Terkenal sebagai pendakwah yang menyebar agama Kristian melalui gerakan evangelical, Graham meninggal dunia pada Februari 2018 pada umur 99 tahun.

Golongan Kristian evangelical amat berpengaruh – mereka terdiri dari 20 peratus pengundi Amerika. Pada tahun 2018, lebih 80 peratus kalangan Kristian evangelical mengundi Donald Trump.

Sementara itu, Galli memberitahu saluran MSNBC bahawa tindakan menjarakkan majalah Christianity Today dari gerakan menyokong Donald Trump secara ‘membuta tuli’ menyebabkan kehilangan beberapa orang pembaca. Namun, ini dikira tidak membimbangkan kerana majalah itu berjaya menarik lebih tiga kali ganda jumlah langganan yang hilang ekoran kontroversi ‘tarik sokongan kepada Donald Trump’ ini.

Christianity Today turut mengutuk parti Demokrat yang disifatkan memang sejak 2016 lagi memasang niat untuk menjatuhkan Donald Trump.

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)