Langkah Indonesia lanjut pengecualian levi eksport dijangka tidak jejas MSM negara

Langkah Indonesia lanjut pengecualian levi eksport dijangka tidak jejas MSM negara

PETALING JAYA,. Permintaan komoditi minyak sawit mentah (MSM) Malaysia dijangka kekal stabil walaupun Indonesia memutuskan untuk melanjutkan pengecualian levi eksport komoditi itu, baru-baru ini.

Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi Datuk Zuraida Kamaruddin berkata tindakan itu juga tidak menjejaskan permintaan MSM negara berikutan jumlah permintaan semasa yang besar terhadap komoditi tersebut.

“Tiada apa yang perlu dikhuatirkan pada masa ini, (permintaan MSM) kita tidak akan terjejas.

“Malah, di peringkat pasaran (global) juga masih mengalami kekurangan minyak sawit,” katanya kepada pemberita selepas melakukan lawatan kerja ke Muzium Coklat di sini, pada Jumaat.

Beliau mengulas laporan media pada Rabu bahawa eksport MSM Malaysia dijangka turun dalam tempoh dua hingga tiga bulan akan datang, sekali gus meningkatkan stok simpanan menjelang akhir Disember 2022 kepada 2.5 juta tan yang merupakan angka tertinggi sejak April 2019.

Menurut laporan tersebut, ini berikutan langkah Indonesia yang dalam proses mengurangkan stok pada harga lebih murah selepas mengumumkan melanjutkan pengecualian levi eksport kepada 31 Oktober depan, sekali gus membatalkan larangan eksport pada Mei lepas.

Dalam pada itu, Zuraida berkata pihak kementerian melalui Lembaga Koko Malaysia (LKM) kini giat meningkatkan lagi usaha pembukaan ladang-ladang koko di negara ini susulan potensi serta permintaan tinggi terhadap komoditi tersebut.

“Di Malaysia, kebanyakan ladang koko terletak di Sabah, Sarawak dan Johor. Kita kini berusaha untuk membuka ladang-ladang baharu menerusi kolaborasi dengan syarikat-syarikat antarabangsa.

“Malah, setakat ini kita telah buka sebuah ladang baharu di Nilai, Negeri Sembilan hasil kerjasama dengan sebuah syarikat dari Austria,” katanya.

Beliau berkata, menerusi usaha itu, syarikat terbabit turut membawa bersama teknologi bagi meningkatkan produktiviti serta kualiti penghasilan koko.

Menurutnya, kementerian juga sedang berusaha untuk mendapatkan tanah bagi tujuan penanaman koko yang turut melibatkan pertemuan dan perbincangan dengan kerajaan-kerajaan negeri.

“Industri koko ini boleh menjana pendapatan agak lumayan yang mana harga koko pada hari ini boleh mencecah RM7,700 bagi satu tan,” katanya.

Setakat ini, Malaysia mengimport kira-kira 98 peratus daripada jumlah biji koko mentah manakala keluasan ladang koko di negara ini dianggarkan 6,000 hektar.

— Bernama

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )