Langkah rangsangan ASEAN harus langkaui jangka pendek – Kearney

Langkah rangsangan ASEAN harus langkaui jangka pendek – Kearney

KUALA LUMPUR,. Langkah-langkah rangsangan yang diumumkan oleh beberapa kerajaan ASEAN tepat pada waktunya, tetapi bantuan yang diberikan kepada Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) adalah terhad dan disasarkan untuk memberi sokongan dan bantuan dalam jangka pendek, menurut panelis pada sesi persidangan seminar menerusi laman web.

Mereka berkata demikian ketika Siri Meja Bulat ASEAN secara dalam talian pertama yang dianjurkan CIMB ASEAN Research Institute (CARI) bertema “ASEAN’s Response to COVID-19: Medium-term Outlook and Urgent Stimulus Measures for the Business Sector”.

Rakan kongsi Kearney Singapore, Chua Soon Ghee berkata sebahagian besar pakej rangsangan telah difokuskan untuk meringankan kesan penurunan permintaan secara mendadak melalui beberapa kombinasi bantuan gaji, rebat yuran atau penangguhan serta sokongan pinjaman.

Sokongan baharu harus melangkaui jangka pendek, katanya.

“Dengan penjarakan sosial yang berterusan sehingga vaksin tersedia secara meluas, permintaan akan berkurangan untuk industri seperti pengembaraan, perhotelan, makanan dan minuman (F&B), peruncitan, tenaga, dan oleh itu sokongan jangka panjang selama satu tahun diperlukan,” kata Chua.

Pandangannya dan juga panelis lain terkandung dalam satu kenyataan dikeluarkan CARI di webinar, yang menghimpunkan pemimpin perniagaan dari Malaysia, Filipina, Singapura, Thailand, dan Indonesia.

Dalam satu kenyataan, Chua berkata kerajaan perlu membantu PKS menangani masalah aliran tunai secara langsung dengan memberikan sokongan pinjaman untuk membuat mereka kekal bertahan sehingga permintaan kembali normal.

Yang pentingnya, beliau berkata perlunya bantuan kepada PKS kerana aliran masuk yang perlahan di dalam saluran yang ditugaskan untuk mengagihkan faedah kepada syarikat hiliran.

Alirannya bergerak perlahan dalam banyak keadaan dan perlu dipercepat baik melalui desakan moral, perundangan, atau wang tunai langsung diberikan kepada individu dan syarikat yang terjejas, katanya.

Selain itu, ahli panel bersetuju bahawa kepelbagaian rantaian bekalan juga melibatkan pengurangan ketergantungan rantau ini terhadap pengeluar dan bahan mentah dari China.

Gangguan dalam pembekalan bahan mentah, tenaga kerja, dan komponen sub-pemasangan ke ASEAN, terutama dari China, memberi kesan yang ketara terhadap industri ASEAN.

“Pemberhentian ekonomi China secara tiba-tiba mencetuskan kejutan rantaian bekalan global dan akan mempercepat pergerakan beberapa pembuatan dari China ke ASEAN dan di tempat lain.

“China mempunyai 28 peratus bahagian dalam pengeluaran global, sementara ASEAN hanya 4 hingga 5 peratus. Bagi negara-negara yang sudah bersedia dengan dasar seperti insentif dan skim, ia akan menjadi peluang keemasan, ” kata Chua.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Sintesa Indonesia, Shinta Widjaja Khamdani berkata walaupun ada had sejauh mana yang dapat dilakukan oleh negara-negara ASEAN untuk menyelamatkan diri daripada kerosakan ekonomi dan jangkaan terhadap krisis yang disebabkan oleh wabak itu, semua tindak balas dasar dan perbelanjaan kerajaan yang yang bertujuan untuk meringankan beban kewangan perniagaan, seperti mengurangkan beban cukai dan kredit serta kos pematuhan, akan diterjemahkan menjadi daya tahan perniagaan untuk jangka masa panjang.

“Pandemik ini telah menimbulkan kebimbangan bahawa kecekapan peraturan; ketepatan keseluruhan data aktiviti ekonomi (terutamanya yang tidak formal); kesalinghubungan dan kepelbagaian rantaian bekalan, termasuk rantai bekalan domestik dan rentas sempadan, adalah modal yang menyelamatkan ekonomi kita dalam krisis,” kata Shinta, yang juga TImbalan Pengerusi (Hubungan Antarabangsa) Dewan Perdagangan dan Industri Indonesia.

Ahli panel meja bulat lain ialah Pengerusi Map Ta Phut Industrial Gasses Co Ltd Thailand, Arin Jira dan Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) RFM Corporation Filipina, Jose Ma Concepcion III.

Perbincangan panel dipengerusikan oleh Pengerusi CARI, Tan Sri Dr Munir Majid, yang berkata negara-negara ASEAN seharusnya tidak berada dalam keadaan lumpuh akibat COVID-19.

Sementara menghadapi serangan terhadap kesihatan dan kehidupan, mereka juga harus membuka koridor untuk kelangsungan hidup dan aktiviti ekonomi, katanya.

“Ini memerlukan pelaksanaan dasar imaginatif dan penguatkuasaan, serta untuk disiplin peribadi dan korporat,” katanya.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)