Lantikan kontrak perkhidmatan awam adalah sementara – JPA

Lantikan kontrak perkhidmatan awam adalah sementara – JPA

KUALA LUMPUR,. Pengambilan secara lantikan kontrak dalam perkhidmatan awam merupakan langkah interim (bersifat sementara) ke arah pelaksanaan kaedah baharu lantikan tetap pegawai awam yang akan melibatkan pindaan akta berkaitan.

Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dalam kenyataan hari ini memaklumkan pegawai yang dilantik menerusi lantikan kontrak (interim) akan dilantik secara tetap menerusi kaedah baharu di bawah sistem saraan perkhidmatan awam yang akan dimuktamadkan kelak.

“Lantikan ke jawatan tetap ini juga tertakluk kepada prestasi dan perakuan Ketua Jabatan selanjutnya.

“Pelantikan ini adalah berdasarkan peraturan dan dasar semasa yang berkuat kuasa iaitu Pekeliling Perkhidmatan Sumber Manusia (MyPPSM) Urusan Perkhidmatan (UP) termasuk penetapan gaji dan kemudahan,” katanya.

Menurut JPA, kerajaan pada 12 Julai 2023 memutuskan supaya suatu kaedah baharu bagi lantikan tetap pegawai awam diperkenal ke arah mengukuhkan lagi sistem saraan perkhidmatan awam.

Kenyataan JPA memaklumkan keputusan itu diambil bagi memastikan kemampanan kewangan kerajaan bagi jangka panjang.

JPA turut berharap penambahbaikan terhadap sistem saraan perkhidmatan awam dapat memacu kecekapan dan keberkesanan penyampaian perkhidmatan awam serta menjaga kebajikan penjawat awam selari dengan aspirasi Malaysia MADANI.

Sementara itu, menerusi soalan lazim (FAQ), JPA memaklumkan urusan lantikan kontrak (interim) dilaksanakan secara berperingkat bermula dengan lantikan Pegawai Awam Persekutuan di bawah Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA) dengan Skim Perkhidmatan Angkatan Tentera Malaysia dan Polis dikecualikan dalam urusan berkenaan.

Menurut JPA, permohonan lantikan kontrak (interim) adalah seperti lantikan tetap sebelum ini menerusi portal SPA9 dengan semua urusan pengambilan dilaksanakan oleh SPA.

“Tempoh kontrak pegawai yang dilantik secara kontrak (interim) adalah selama tiga tahun atau sehingga kaedah baharu lantikan tetap berkuat kuasa. Gaji pegawai lantikan kontrak (interim) adalah sama seperti pegawai lantikan tetap,” katanya.

Selain itu, faedah dan kemudahan yang disediakan untuk pegawai lantikan kontrak (interim) adalah berdasarkan peraturan serta dasar semasa yang berkuat kuasa iaitu Pekeliling Perkhidmatan Sumber Manusia (MyPPSM) Urusan Perkhidmatan (UP).

Menurut JPA, proses penilaian prestasi bagi pegawai kontrak (interim) adalah berdasarkan polisi dan peraturan semasa yang berkuat kuasa manakala proses pemberhentian/penamatan pegawai adalah berdasarkan terma kontrak.

Menyentuh isu sama ada urusan penentuan gaji permulaan semasa lantikan kontrak (interim) mengambil kira pengalaman sektor pekerjaan terdahulu, JPA berkata ia boleh dipertimbang oleh Pihak Berkuasa Melantik tertakluk kepada peraturan dan dasar semasa yang sedang berkuat kuasa.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)