
Lapan maut, dua juta penduduk terjejas akibat banjir di Bangladesh
KURIGRAM: Angka kematian akibat banjir di Bangladesh pada minggu ini telah meningkat kepada lapan orang selain menjejaskan lebih dua juta orang selepas hujan lebat menyebabkan sungai-sungai utama melimpah dari tebingnya, demikian disahkan oleh pihak berkuasa pada Sabtu.
Negara Asia Selatan yang mempunyai 170 juta penduduk dengan diselang-seli beratus-ratus batang sungai ini, telah menyaksikan lebih banyak banjir berlaku sejak beberapa dekad lepas.
Perubahan iklim menyebabkan hujan turun lebih tidak menentu dan glasier mencair di hulu sungai di pergunungan Himalaya.
Dua remaja lelaki telah terkorban ketika sebuah bot karam dalam air banjir di Shahjadur, ketua polis Sabuj Rana di pekan pedalaman utara memberitahu AFP.
“Terdapat sembilan orang dalam bot kecil itu. Tujuh orang telah berenang menyelamatkan diri. Dua orang budak lelaki itu tidak tahu berenang. Mereka lemas,” kata beliau.
Bishwadeb Roy, seorang ketua polis di Kurigram memberitahu AFP bahawa tiga orang lagi telah terkorban dalam dua insiden renjatan elektrik berasingan selepas bot mereka tersangkut di wayar elektrik yang masih hidup dalam banjir.
Tiga orang lagi meninggal dunia dalam insiden berasingan berkaitan banjir di seluruh negara, pihak berkuasa memberitahu AFP pada awal minggu lepas.
Kerajaan menyatakan ia telah membuka beratus-ratus buah rumah perlindungan bagi penduduk yang tiada tempat tinggal akibat banjir dan menghantar makanan serta bantuan ke daerah yang teruk terjejas di wilayah utara negara ini.
“Lebih dua juta orang terjejas akibat banjir. Sebanyak 17 daripada 64 buah daerah di negara ini terjejas,” setiausaha kementerian pengurusan bencana negara, Kamrul Hasan memberitahu AFP.
Menurut Hasan, situasi banjir mungkin bertambah buruk di utara sepanjang beberapa hari akan datang dengan Brahmaputra, salah satu daripada laluan perairan utama di Bangladesh, mengalir di atas paras bahaya di beberapa tempat.
Di daerah paling teruk terjejas Kurigram, lapan daripada sembilan buah pekan luar bandar telah ditenggelami banjir, pegawai bencana dan bantuan tempatan Abdul Hye memberitahu AFP.
“Kami hidup dengan banjir di sini. Namun tahun ini airnya sangat tinggi. Dalam masa tiga hari, Brahmaputra naik kepada enam hingga lapan kaki (2-2.5 meter),” seorang kaunselor tempatan di daerah, Abdul Gafur memberitahu AFP.
“Banjir telah menenggelami lebih daripada 80 peratus rumah-rumah di kawasan saya. Kami sedang cuba untuk menghantar makanan, terutama beras dan minyak masak. Namun berlaku pula krisis air minuman.”
Bangladesh Iberada di tengah monsun musim panas tahunan, yang membawa ke Asia Selatan 70-80 peratus daripada hujan tahunannya, termasuk kematian dan kemusnahan yang kerap akibat banjir dan tanah runtuh.
Keadaan hujan sukar untuk diramal dan terdapat kepelbagaian, namun saintis menyatakan perubahan iklim telah membuat monsun lebih kuat dan lebih tidak menentu.
– Agensi