Lapan syarikat kemuka RFP bagi menguruskan kenderaan kerajaan

KUALA LUMPUR,. Sebanyak lapan syarikat mengemukakan Permintaan bagi Cadangan (RFP) untuk menguruskan kumpulan kenderaan kerajaan dan ia telah melalui beberapa peringkat penilaian termasuk penilaian teknikal dan penilaian komersial.

Ketua Setiausaha Perbendaraan, Kementerian Kewangan, Tan Sri Ahmad Badri Mohd Zahir berkata proses rundingan sedang dilaksanakan bersama pembida yang berjaya untuk memuktamadkan konsesi tersebut dan keutamaan akan diberikan kepada kereta Proton bagi kegunaan menteri serta timbalan menteri, dan bukan Toyota Vellfire seperti yang telah digembar-gemburkan.

“Jawatankuasa penilaian tender, yang dianggotai oleh penjawat awam kanan daripada pelbagai agensi terlibat sebagai penilai termasuk Jabatan Kerja Raya, Unit Perancang Ekonomi (kini dikenali sebagai Kementerian Hal Ehwal Ekonomi) dan Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta serta Kementerian Kewangan sebagai peneraju utama, seterusnya telah memilih pembida yang layak untuk dipertimbangkan sebagai syarikat konsesi baharu,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata susulan itu keputusan jawatankuasa penilaian tender telah dibentangkan dalam Mesyuarat Jemaah Menteri untuk pertimbangan dan kelulusan.

Sejak 30 Okt, 1993, konsesi kumpulan kenderaan kerajaan Malaysia telah diuruskan oleh Spanco Sdn. Bhd. (Spanco) berdasarkan Perjanjian Konsesi di antara Kerajaan Malaysia dengan syarikat berkenaan.

Perjanjian tersebut telah tamat pada 31 Dis, 2018.

Dengan demikian, Ahmad Badri berkata bagi menguruskan kumpulan kenderaan kerajaan masa hadapan, kerajaan telah memutuskan supaya syarikat konsesi dipilih secara RFP yang dilaksanakan secara terbuka.

“Dengan kata lain tidak ada tender terhad atau pemberian tender secara terus diamalkan,” katanya.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )