Laporan Laksana KetigaPelaksanaan Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (Prihatin)

Laporan Laksana KetigaPelaksanaan Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (Prihatin)

PENGENALAN

1. Assalamualaikum WBT. Salam Ramadan Al-Kareem dari kami di Kementerian Kewangan.

2. Saya doakan saudara saudari di rumah sihat walafiat. Dan bagi yang bertugas, khasnya mereka di barisan hadapan atau frontliners kami doakan saudara saudari semua selamat dalam menjalankan tugas.

3. Alhamdulillah kita dapat bersama sekali lagi dalam briefing mingguan tentang pelaksanaan pakej PRIHATIN.

4. Pada minggu ini, kita akan memulakan Fasa ke-4 PKP. Ini adalah satu tahap yang penting dalam usaha menangani COVID-19. Teruskan memberi sokongan moral kepada satu sama lain. Jangan lupa untuk membuat panggilan kepada ibu bapa dan mereka yang tersayang. It is also vital that we provide support to those around us for their mental wellbeing in these unprecedented times.

PELAKSANAAN PRIHATIN

Saudara dan saudari yang dihormati,

5. Sepertimana pada minggu-minggu sebelum ini, izinkan saya terus berkongsi beberapa perkembangan terkini status pelaksanaan Pakej PRIHATIN.

6. Pertama, Bantuan Prihatin Nasional (BPN).

a. Sehingga 26 April, lebih 3.26 juta permohonan baharu dan juga rayuan telah diterima. Daripada jumlah ini, sebanyak 2.96 juta merupakan permohonan baharu dan 305,000 adalah rayuan. Proses ini akan tutup pada hari Khamis, 30 April ini. Pengumuman pembayaran pula akan dibuat pada minggu depan selepas proses semakan selesai.

b. Bagi pembayaran fasa pertama BPN, sebanyak 7.74 juta penerima telah menerima bayaran BPN berjumlah RM5.47 bilion. Proses bayaran tunai bagi mereka yang tiada akaun bank telah bermula sejak 17 April 2020 dan berjalan lancar dengan lebih 157,000 menerima bayaran secara tunai di cawangan- cawangan Bank Simpanan Nasional seluruh negara.

c. Dengan sukacitanya, saya ingin berkongsi bahawa pembayaran Fasa Ke-2 untuk kesemua penerima BPN golongan B40 dan M40, samada isi rumah atau individu bujang, akan dibuat mulai 4 Mei 2020.

7. Perkara kedua — adalah berkenaan Geran Khas Prihatin untuk perniagaan mikro. Permohonan untuk geran khas ini akan dibuka mulai hari Jumaat ini, iaitu 1 Mei 2020. Proses permohonan akan diselaraskan dan diumumkan oleh Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia atau LHDN dalam masa terdekat.

8. Perkara ketiga — adalah berkaitan Program Subsidi Upah. Sehingga 26 April, permohonan subsidi upah yang diluluskan telah meningkat daripada 159,000 majikan, melibatkan 1 juta pekerja kepada 195,000 majikan yang melibatkan 1.5 juta pekerja. Bantuan ini melibatkan peruntukan RM1.35 bilion, iaitu peningkatan daripada RM1.2 bilion pada minggu lalu.

9. Keempat, berkenaan Dana Pinjaman Mudah PKS di mana RM6.3 bilion diperuntukkan. Sehingga 26 April, sebanyak RM4.5 bilion telah diluluskan untuk 8,500 PKS. Ini adalah peningkatan daripada RM2.7 bilion untuk 5,000 PKS minggu lalu.

10. Kelima berkenaan Program Bantuan Majikan COVID-19 atau e-CAP KWSP:

a. Bermula 23 April 2020, KWSP telah melancarkan e-CAP yang bertujuan untuk membantu PKS yang layak dalam menguruskan aliran tunai bulanan perniagaan.

Selain itu, e-CAP juga dihasratkan dapat membantu majikan untuk terus kekal beroperasi serta mengekalkan tenaga kerja mereka.

b. Program ini membolehkan majikan yang mempunyai sehingga 200 pekerja untuk memohon penangguhan dan penstrukturan Bayaran Caruman Syer Majikan untuk caruman bulan April, Mei & Jun 2020 (iaitu pada bulan Mac, April & Mei 2020).

c. Bagi PKS yang mempunyai lebih 200 pekerja, sekiranya mereka perlukan penyelesaian yang berlainan dari apa yang ditawarkan melalui program e-CAP, mereka juga boleh menghubungi KWSP untuk pertimbangan, dengan syarat PKS mempunyai rekod bayaran caruman yang baik sebelum bermulanya wabak COVID-19.

11. Suka saya maklumkan, Bantuan Khas Kewangan sebanyak RM500 untuk 2.5 juta penjawat awam dan pesara, termasuk veteran angkatan tentera tidak berpencen telah dibuat pada 23 April 2020.

12. Bagi golongan pelajar IPT pula, syukur Alhamdulillah, mulai 27 April 2020 (iaitu semalam), kita telah pun mula menghulurkan bantuan RM200 secara one-off. Bantuan ini memanfaatkan seramai 1.5 juta pelajar IPT sekitar negara.

13. Untuk kategori perniagaan pula, mulai Jumaat 1 Mei ini, permohonan untuk jaminan pinjaman DANAJAMIN akan mula dibuka.

Saudara dan saudari yang dihormati,

14. Seperti yang kita sering perkatakan, usaha memerangi wabak COVID-19 dan memelihara negara adalah tanggungjawab bersama. Melibatkan semua pihak kerajaan mahupun swasta.

15. Dalam laporan minggu ini, saya ingin berkongsi mengenai langkah-langkah tanggungjawab sosial korporat yang telah diambil oleh pihak swasta.

a. Pertama, di bawah GLC/GLIC Disaster Response Network (GDRN), sebanyak RM95.4 juta telah dikumpulkan di atas ehsan Syarikat Berkaitan Kerajaan dan Syarikat Pelaburan Berkaitan Kerajaan, serta beberapa syarikat-syarikat swasta. Dari jumlah ini, sebanyak RM79 juta telah disumbangkan kepada Kementerian Kesihatan melalui pembelian pelbagai peralatan kesihatan dan makmal. Ini termasuk 138 ventilator, 56,000 pelindung muka, 69,000 sarung tangan, dan lebih 1,700 kelengkapan pelindung diri atau Personal Protective Equipment (PPE). Terima kasih saya ucapkan kepada semua Syarikat Berkaitan Kerajaan yang telah menyumbang kepada tabung khas ini.

b. Kedua, Kementerian Kewangan bekerjasama rapat dengan Yayasan Hasanah untuk memberi sokongan kepada pihak NGO yang telah terkesan oleh PKP. Sokongan ini diberi untuk memastikan pihak NGO dapat meneruskan usaha murni mereka dalam menjaga kebajikan rakyat di bawah penjagaan mereka.

c. Pada 14 April, Kementerian Kewangan bersama-sama dengan Yayasan Hasanah juga telah melancarkan Geran Khas Hasanah 2020 bagi menyokong program- program sosial yang meningkatkan kualiti hidup serta memulihkan ekonomi kumpulan sasaran. Ini termasuklah komuniti B40, komuniti mudah terjejas (ataupun vulnerable), golongan pelarian, orang asal, warga emas, gelandangan, kanak-kanak yang berisiko, wanita, belia dan orang kelainan upaya dari seluruh Malaysia. Program sosial yang layak menerima geran ini boleh dilaksanakan sehingga bulan April 2021, iaitu semasa dan selepas PKP.

d. Secara amnya, ukuran dana maksimum untuk sebarang projek atau program sosial adalah sehingga RM250,000. Sukacita saya berkongsi bahawa setakat ini, lebih 100 permohonan telah diterima dan dana akan dipertimbangkan kepada NGO yang layak. Bagi NGO yang belum memohon, silalah kemukakan permohonan anda sebelum 15 Oktober 2020.

e. Ketiga, pada pertengahan April, peruntukan sebanyak RM25 juta telah disalurkan kepada Kementerian Pembangunan Wanita, Komuniti dan Masyarakat (KPWKM) sebagai langkah kerajaan untuk bekerjasama dengan NGO dan usahawan sosial untuk membantu golongan mudah terjejas (vulnerable group). Ini termasuk kanak- kanak dan warga emas di rumah perlindungan, orang kelainan upaya (OKU), golongan gelandangan dan orang asal. Peruntukan ini akan digunakan untuk penyaluran bantuan makanan, barangan penjagaan kesihatan dan menyediakan tempat perlindungan. Antara tindakan proaktif yang telah diambil ialah bertindak balas kepada aduan rakyat. Sebagai contoh, pada 14 April yang lalu, LAKSANA telah menerima e-mel dari saudara Ismail yang berasal dari Ipoh, Perak berkaitan rayuan keperluan barangan asas. E-mel tersebut telah dipanjangkan kepada KPWKM, dan Jabatan Kebajikan Masyarakat Ipoh, Perak telah membantu menghantar bantuan Bakul Makanan pada 16 April. Terima kasih KPWKM dan JKM atas tindakan segera!

PENUTUP

Saudara dan saudari yang dihormati,

16. Seperti yang dikongsi oleh YAB Perdana Menteri sebelum ini, Pakej PRIHATIN ini bertujuan untuk membantu rakyat dan perniagaan untuk tempoh selama 3 hingga 6 bulan dalam menghadapi cabaran wabak COVID-19 ini.

17. Kerajaan telah pun memulakan usaha untuk merangka pelan pemulihan semula ekonomi dalam jangka masa pendek, sederhana dan panjang. Insya-Allah, pelan pemulihan ekonomi ini akan dapat menjana pertumbuhan ekonomi negara demi kesejahteraan rakyat.

18. We have embarked on a plan towards short, medium and long-term economic recovery. We are in the midst of engaging with stakeholders to ensure the plan is robust and comprehensive. The support of all segments of society is important in making the plan a reality and a success.

19. Sesungguhnya, Kerajaan akan memerlukan usahasama dan sokongan daripada sektor swasta dan juga setiap lapisan rakyat untuk memastikan ekonomi akan dapat dibangunkan segera. Cabaran yang kita hadapi adalah amat besar, tetapi kita mampu atasi jika kita bersatu. Insya-Allah.

20. Sekali lagi, terima kasih kerana bersama saya pada hari ini. Izinkan saya akhiri laporan LAKSANA yang ketiga ini dengan serangkap dua pantun:

Anak harimau di tengah hutan, Lincah bermain tertusuk duri,

Rakyat sabar hadapi cabaran, Kerajaan setia tunaikan janji.

Anak harimau tertusuk duri, Mengalah tidak meredah rimba,

Pakej Prihatin demi ekonomi, Kesejahteraan rakyat tetap utama.

 

Akhir kata, “Stay safe” dan buat warga muslimin dan muslimat–selamat menjalankan ibadah puasa.

Wabillahitaufik Wal Hidayah, Assalamualaikum WBT.

CATEGORIES
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )