Larian Menjunjung Kasih 2019 buka kategori 21 km buat julung kalinya

Larian Menjunjung Kasih 2019 buka kategori 21 km buat julung kalinya

SHAH ALAM,. Larian Menjunjung Kasih 2019 yang dianjurkan sempena Hari Keputeraan ke-74 Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah membawa kelainan tahun ini apabila buat julung kalinya mempertandingkan kategori larian 21km.

Pengarah Eksekutif Majlis Sukan Negeri Selangor (MSNS) Adi Faizal Ahmad Tarmizi berkata jarak baharu itu ditambah dalam senarai kategori larian berkenaan bagi mempelbagaikan acara selain menarik lebih banyak penyertaan dalam kalangan rakyat.

Beliau berkata acara larian yang masuk edisi kelima itu akan diadakan di Padang Timur, Petaling Jaya pada 8 Dis depan bermula seawal 5 pagi dan disasarkan kira-kira 10,000 pelari menyertainya.

“Walaupun diperkenalkan jarak 21 km, namun acara larian ini masih mempertandingkan jarak larian 10 km dan 5 km seperti edisi sebelumnya. Kita mahu memupuk masyarakat supaya mengamalkan cara hidup sihat serta menanam semangat perpaduan dalam kalangan rakyat.

“Selain itu, acara ini juga memberi peluang kepada penduduk tempatan terutamanya remaja dan belia di Selangor untuk menceburi sukan ini yang secara tidak langsung menghidupkan rasa kasih dan peduli kepada institusi kesultanan negeri Selangor,” katanya dalam satu sidang media di sini hari ini.

Kata Adi Faizal, setakat ini, kira-kira 5,000 peserta telah mengesahkan penyertaan mereka sejak acara itu dibuka pendaftarannya pada 1 Julai lepas.

Beliau berkata selain acara larian, peserta juga pasti menantikan acara cabutan bertuah dan pihaknya menyediakan pelbagai hadiah lumayan kepada mereka yang berdaftar.

Kategori yang dipertandingkan pada edisi kali ini adalah 21 km Lelaki / Wanita Terbuka Malaysia dan 21 km antarabangsa, 10 km Lelaki/Wanita (18 tahun ke atas), 10 km Pelajar Terbuka Lelaki/Wanita (13-27 tahun), 5 km Pelajar Terbuka Lelaki/Wanita (13-27 tahun), 5 km Keluarga Fun Run dan 5 km Orang Kelainan Upaya (OKU).

Pendaftaran acara larian itu boleh dilakukan menerusi laman sesawang www.jomrun.com dan www.racexasia.com sebelum 1 Nov ini.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)