lawatan khas; Agong,Raja Permaisuri tiba di UK

KUALA LUMPUR,. Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah tiba di London bagi lawatan khas selama 10 hari ke United Kingdom (UK) bermula semalam.

Istana Negara menerusi kenyataan di Facebook rasmi memaklumkan pesawat khas yang membawa Seri Paduka berdua dan delegasi mendarat di Lapangan Terbang Luton, London pada 8 malam Jumaat waktu tempatan (3 pagi Sabtu waktu Malaysia).

Ketibaan Al-Sultan Abdullah dan Tunku Azizah disambut Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke United Kingdom, Zakri Jaafar dan isteri Nor Aini Abdul Rahman.

Dalam lawatan khas berkenaan, Seri Paduka berdua dijadualkan berangkat melawat Projek Battersea Power Station di London, Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Belgrave Square dan Pusat Penyelidikan Tun Abdul Razak di Brickendonbury, Hertford.

Atur cara lawatan khas itu turut diisi dengan pertemuan antara Yang di-Pertuan Agong dan Raja Permaisuri Agong bersama komuniti rakyat Malaysia di London.

Al-Sultan Abdullah turut dijadualkan berangkat menghadiri Sandhurst Reunion Dinner di Royal Military Academy Sandhurst iaitu tempat Seri Paduka pernah menimba ilmu ketenteraan dari 1978 hingga 1979.

Seri Paduka turut dijadualkan mengadakan pertemuan dengan Ketua Staf Pertahanan UK Sir General Nicholas Carter yang akan menyentuh hubungan kerjasama ketenteraan dua hala Malaysia dan United Kingdom.

Carter juga pernah menuntut di Royal Military Academy Sandhurst.

Selepas lawatan khas berkenaan, Seri Paduka berdua berkenan beristirahat di London bermula dari 27 Sept dan dijadualkan berangkat pulang ke tanah air pada 23 Okt.

Lawatan khas itu merupakan kali kedua Seri Paduka ke United Kingdom sejak dipilih sebagai Yang di-Pertuan Agong selepas kali pertama pada Disember 2019, selama tujuh hari bermula 9 Dis 2019.

Sepanjang keberangkatan Al-Sultan Abdullah, Sultan Perak Sultan Nazrin Muizzuddin Shah yang juga Timbalan Yang di-Pertuan Agong akan menjalankan fungsi-fungsi Yang di-Pertuan Agong.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )