Lebih 115,000 Orang Asli terima vaksin COVID-19

Lebih 115,000 Orang Asli terima vaksin COVID-19

PUTRAJAYA,. Kira-kira 67 peratus atau seramai 115,516 Orang Asli daripada jumlah keseluruhan 172,155 Orang Asli yang layak divaksin sudah menerima suntikan vaksin COVID-19, kata Menteri Pembangunan Luar Bandar Datuk Seri Mahdzir Khalid.

Mahdzir berkata Orang Asli yang masih belum divaksinasi bukan disebabkan mereka menolak vaksin COVID-19 tetapi masih menunggu peluang untuk divaksin.

“Nak sampai pada mereka (Orang Asli) agak susah sikit sebab mereka ni tinggal jauh di pedalaman. Tapi kita akan teruskan program outreach untuk pastikan semua sekali dapat divaksin,” katanya kepada media selepas menyertai Hari Sukan Negara peringkat Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) di sini hari ini.

Beliau berkata KPLB sedang berusaha untuk memastikan baki kira-kira 56,639 Orang Asli yang layak divaksin, untuk divaksinasi secepat mungkin.

Antara usaha program outreach adalah dengan mengubah suai bas ekspres MARA Liner Sdn Bhd menjadi pusat pemberian vaksin (PPV) bergerak untuk ke kawasan perkampungan Orang Asli antaranya di Perak, Pahang dan Kelantan, katanya.

Menurut beliau penggunaan vaksin jenis CanSino yang hanya memerlukan satu dos juga akan membantu mempercepatkan kadar vaksinasi dalam kalangan masyarakat Orang Asli.

Katanya, kira-kira 10 peratus Orang Asli yang sudah divaksinasi menerima vaksin jenis CanSino.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )