Lebih 17,000 terima dos pertama vaksin COVID-19 di Thailand

Lebih 17,000 terima dos pertama vaksin COVID-19 di Thailand

BANGKOK: Sejumlah 17,697 individu di Thailand telah menerima dos pertama vaksin COVID-19 setakat ini. Menurut Kementerian Kesihatan Awam Thailand, petugas barisan hadapan dan kumpulan berisiko tinggi di 13 wilayah dalam negara itu telah menerima dos pertama vaksin Sinovac Biotech dari China sejak program vaksinasi COVID-19 bermula 28 Feb sehingga Khamis.

Antaranya 15,981 kakitangan sektor kesihatan serta perubatan (90.3 peratus) dan 1,603 pegawai berisiko (sembilan peratus), katanya.

“Sejumlah 270 penerima vaksin atau 1.5 peratus yang menerima dos pertama vaksin Sinovac mengalami kesan sampingan seperti sakit pada bahagian yang disuntik, rasa loya dan pening. “Setakat ini, tiada penerima vaksin yang mengalami gejala teruk,” katanya.

Pada 28 Feb lepas, Thailand memulakan program vaksinasi COVID-19 dengan Timbalan Perdana Menteri Anutin Charnvirakul menjadi antara individu pertama menerima vaksin Sinovac. Thailand menerima kumpulan pertama vaksin Sinovac sebanyak 200,000 dos dan 117,000 dos vaksin AstraZeneca dari Oxford, yang tiba pada 24 Feb lepas.

Vaksin AstraZeneca masih perlu menjalani proses Jaminan Kualiti yang dijangka selesai minggu depan. Sementara itu, Thailand merekodkan sejumlah 64 kes baharu COVID-19 dengan sifar kematian dalam tempoh 24 jam lepas, menjadikan jumlah keseluruhan jangkitan di negara itu setakat ini ialah 26,305 kes dengan 85 kematian.

— BERNAMA

CATEGORIES
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)