Lebih 2,000 orang hilang, Gaza perlukan segera pasukan pertahanan awam

Lebih 2,000 orang hilang, Gaza perlukan segera pasukan pertahanan awam

ANGKA kematian di Gaza meningkat kepada 9,770 pada Ahad, dengan sekurang-kurangnya 2,000 lagi masih belum dikesan dan dikhuatiri tertimbus dalam runtuhan rumah dan bangunan yang musnah akibat serangan udara tanpa henti oleh rejim Zionis.

“…kami tidak mempunyai sukarelawan dan jentera berat yang mencukupi untuk membantu mencari dan mengeluarkan mereka yang terperangkap di bawah runtuhan. “Agensi pertahanan awam kami tidak dapat menggeluarkan mereka, selain tidak dapat menangani serangan udara bertubi-tubi, kemusnahan dan pengeboman berlaku di setiap kawasan di Semenanjung Gaza,” kata Ketua Dasar Awam di Pejabat Perdana Menteri Gaza Dr. Abdullah Waleed kepada Bernama ketika dihubungi melalui WhatsApp.

Dr. Abdullah berkata keperluan untuk mewujudkan pertahanan awam yang mampu bertindak balas dalam menangani bencana buatan manusia itu amat mendesak.

“Pertahanan awam semakin diperlukan sekarang, terutama tahap kemusnahan dan jumlah korban di Gaza sejak 7 Okt lepas tidak dapat dibandingkan dengan pencerobohan sebelum ini,” katanya.
Beliau berkata tiada lagi tempat selamat di wilayah yang dikepung itu, dengan tentera penceroboh Israel melakukan serangan hampir setiap jam, setiap hari tanpa henti.

“Kehidupan rakyat amat derita. Mereka hanya menggunakan apa sahaja yang ada dan jika boleh pergi ke kedai, susah untuk dapatkan barangan makanan. “Anda hanya boleh dapat satu paket roti untuk dimakan 10 atau 20 ahli keluarga. Hanya sekeping roti untuk setiap orang sehari…,” katanya.

Di sebalik tekanan, kebimbangan dan keletihan, Abdullah berkata penduduk Gaza terus tabah, setelah mengalami kesusahan hampir setiap hari selama beberapa dekad. “Mereka berpegang teguh pada akidah dan saya percaya inilah yang menjadikan mereka sangat kuat dan berazam untuk berjuang mendapatkan kebebasan dan kemerdekaan,” katanya.

Beliau berkata walaupun tidak ada tanda-tanda gencatan senjata antara Israel dan pihak Palestin, penduduk di Gaza terharu dengan sokongan yang diberikan dari seluruh dunia untuk perjuangan Palestin.

Rakyat Palestin mengharapkan lebih banyak sokongan daripada dunia Arab dan Islam, kenyataan dan pendirian yang lebih padu dan berani terhadap kekejaman berterusan Israel. “Misalnya, dunia Arab akan mengisytiharkan mereka tidak akan mengeksport minyak ke negara yang menyokong Israel.

“Tindakan ini akan memaksa masyarakat antarabangsa untuk menekan Israel supaya menghentikan kekejaman yang sedang berlaku,” katanya, sambil menambah bahawa beberapa negara Arab perlu memutuskan hubungan diplomatik dengan Israel.

Beliau berkata penduduk Gaza turut memuji Malaysia yang menunjukkan solidariti yang padu ke atas Palestin dan berharap negara-negara lain akan mengikuti langkah yang sama dalam menyokong Palestin.

“NGO Malaysia telah melakukan kerja-kerja kemanusiaan yang penting sejak sekian lama dan mereka adalah antara pertubuhan aktif utama di seluruh dunia yang menyokong perjuangan Palestin,” katanya.

— BERNAMA

CATEGORIES
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)