Lebih 2,000 penguat kuasa pantau barangan SHMMP

Lebih 2,000 penguat kuasa pantau barangan SHMMP

KUALA LUMPUR,. Sebanyak 2,300 penguat kuasa akan menjalankan pemantauan di pasar raya, pasar awam dan kedai runcit di seluruh negara bagi memastikan peniaga mematuhi harga kawalan 19 jenis barangan ditetapkan di bawah Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) bersempena sambutan Krismas tahun ini.

Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Dr Alauddin Sidal berkata mereka yang didapati menaikkan harga tanpa alasan munasabah dan tidak meletakkan tanda harga akan dikenakan tindakan di bawah Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2011.

Beliau berkata bagi kesalahan individu menjual barangan harga terkawal melebihi harga maksimum, mereka boleh didenda sehingga RM100,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya, atau dikompaun sehingga RM50,000, manakala syarikat pula boleh didenda sehingga RM500,000 atau kompaun sehingga RM250,000.

“Bagi kesalahan gagal meletakkan tanda harga berwarna merah jambu pada barangan kawalan, individu boleh dikenakan denda sehingga RM10,000 atau kompaun sehingga RM5,000, dan syarikat pula boleh didenda sehingga RM20,000 atau kompaun sehingga RM10,000,” katanya kepada pemberita selepas melakukan tinjauan di sebuah pasaraya di sini hari ini bersempena pelaksanaan SHMMP Krismas 2019.

Katanya, pihaknya turut mengadakan kerjasama dengan pelbagai pihak termasuk Rakan KPDNHEP dan agensi-agensi kerajaan lain di setiap negeri bagi menyalurkan maklumat kenaikan harga barangan.

Alauddin berkata pengguna juga boleh menyalurkan aduan kepada kementerian melalui portal [email protected] atau menghubungi 1800 886 800 selain melalui aplikasi telefon pintar Ez ADU.

KPDNHEP menyenaraikan 19 jenis barangan antaranya ayam, ayam belanda import, telur ayam, cili merah dan tomato bagi pelaksanaan SHMMP Krismas 2019 berkuat kuasa hari ini sehingga 31 Dis ini.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)