Lebih 20,000 pelarian di Malaysia belum berdaftar dengan UNHCR

KUALA LUMPUR,. Dianggarkan lebih 20,000 pelarian di negara ini masih belum berdaftar dengan Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengenai Pelarian (UNHCR).

Menteri Sumber Manusia Datuk Seri M. Saravanan berkata perkara itu dimaklumkan oleh delegasi daripada Pejabat Pesuruhjaya Tinggi UNHCR yang diketuai Thomas Albrecht ketika melakukan kunjungan hormat ke atas beliau semalam.

Saravanan berkata antara isu yang dibincangkan dalam kunjungan hormat itu ialah imunisasi COVID-19 kepada pemegang kad UNHCR, selaras dengan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan yang akan bermula hari ini.

“Program imunisasi ini dijangka akan meliputi 70 peratus daripada populasi dalam negara menjelang 2022. Imunisasi ini perlu juga diperluas kepada golongan pemegang kad UNHCR bagi memastikan tidak wujudnya kluster COVID-19 dalam kalangan mereka.

“Beberapa buah negara telah menyatakan kesediaan untuk membiayai kos imunisasi ini kepada pemegang kad UNHCR,” katanya dalam kenyataan semalam.

Setakat Disember 2020, terdapat seramai 178,610 pelarian dan pemohon suaka yang telah berdaftar dengan pejabat UNHCR di Malaysia, dengan 154,030 orang dari Myanmar membabitkan etnik Rohingya (102,250 orang), etnik Chin (22,140 orang) dan selebihnya daripada etnik-etnik lain.

Justeru katanya penglibatan UNHCR bagi tujuan penyebaran maklumat di lapangan amat diperlukan untuk menjayakan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan kepada golongan pelarian, selain penyertaan oleh kementerian dan agensi kerajaan.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )