Lebih 30 barangan terlibat SHMMP Hari Raya Puasa 2021

Lebih 30 barangan terlibat SHMMP Hari Raya Puasa 2021

PUTRAJAYA,. Terdapat lebih 30 barangan keseluruhan yang terlibat dalam Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Hari Raya Puasa 2021, kata Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Dato Sri Alexander Nanta Linggi.

Beliau berkata, senarai tambahan itu akan diumumkan dalam masa terdekat.

KPDNHEP sebelum ini mengumumkan senarai 12 barangan daripada empat kategori, iaitu ayam, telur ayam, daging dan hasil laut di bawah SHMMP Hari Raya Puasa 2021 yang dilaksanakan selama 30 hari bermula 21 April hingga 20 Mei.

“Barangan lain ini tidak diumumkan lagi kerana tiada tekanan terhadap barangan tersebut. Kita mahu berlaku adil terhadap peniaga… kalau umum awal tetapi tiada permintaan ia akan beri masalah kepada mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas Majlis Amanat Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin serta lawatan Muhyiddin ke Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) dan Pusat Arahan Penguatkuasaan (ECC), di sini semalam.

Nanta dalam pada itu meminta semua peniaga mematuhi senarai harga barangan yang telah ditetapkandi bawah SHMMP Hari Raya Puasa 2021 bagi mengelak dikenakan tindakan penguatkuasaan.

“Skim ini dilaksanakan di semua peringkat iaitu pengeluar, pemborong dan peruncit. Harga ayam dijual dengan harga RM7.10 di peringkat borong dan jika ada yang jual lebih daripada harga tersebut… tindakan akan dikenakan,” katanya.

Mengenai lawatan Muhyiddin semalam, beliau berkata, Perdana Menteri telah memberikan input penambahbaikan agar kementerian itu terus relevan dalam menangani kehendak dan tuntutan peniaga serta pengguna.

“KPDNHEP sentiasa memberikan fokus untuk menangani tiga isu utama iaitu isu kecukupan bekalan barangan pada harga yang stabil termasuk menangani isu pembelian panik oleh pengguna, isu bekalan pelitup muka dan pemulihan ekonomi negara,” katanya.

— Bernama

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)