Lebih 300,000 remaja telah divaksin sehingga Isnin

Lebih 300,000 remaja telah divaksin sehingga Isnin

KUALA LUMPUR,. Sekurang-kurangnya 308,000 remaja berumur lingkungan 12 hingga 17 tahun telah menerima dos pertama vaksin COVID-19 di seluruh negara sehingga Isnin, kata Timbalan Menteri Kesihatan Datuk Dr Noor Azmi Ghazali.

Beliau berkata Sabah mendahului dengan 118,000 suntikan diikuti Sarawak (88,000), Kedah (19,000), Kelantan (17,000), Johor (16,000) dan Labuan (2,500).

“Meskipun pelancaran program vaksin kepada remaja baru sahaja bermula semalam tetapi ada negeri yang telah memulakan suntikan lebih awal lagi seperti Sarawak pada 8 Sept, Labuan pada 11 Sept dan Sabah pada 19 Sept.

“Angka ini memberi gambaran ketidaksabaran serta semangat remaja yang memang mahu disuntik cepat kerana mereka faham dan sedar kepentingan vaksin tersebut dalam melawan COVID-19,” katanya dalam program Bicara Naratif yang bersiaran secara langsung di RTM1 pada malam Selasa.

Dr Noor Azmi berkata Kementerian Kesihatan (KKM) yakin negara dapat mencapai sasaran menyuntik sekurang-kurangnya 80 peratus daripada keseluruhan 3.2 juta remaja dengan dua dos lengkap menjelang hujung tahun ini atau selewat-lewatnya sebelum sesi persekolahan 2022 bermula.

“Jumlah 3.2 juta remaja ini termasuk mereka yang bukan warga dan juga yang tidak bersekolah… kita tidak mahu ada remaja yang ketinggalan atau keciciran,” katanya sambil menambah KKM menyasarkan 60 peratus golongan itu menerima sekurang-kurangnya satu dos suntikan pada akhir November tahun ini.

Beliau berkata program itu akan dilaksana dengan beberapa kaedah iaitu bagi sekolah yang pelajarnya lebih 1,000 orang, suntikan akan dibuat di sekolah tersebut secara berjadual dari 8 pagi hingga 5 petang manakala bagi sekolah dengan pelajar kurang 1,000 orang seperti di luar bandar, pelajar beberapa sekolah berbeza akan menerima suntikan di lokasi sama yang akan ditetapkan.

“Pelajar di asrama harian atau penuh, sebelum balik ke asrama akan diberi janji temu di aplikasi MySejahtera sama ada mereka akan menerima suntikan di klinik perubatan am swasta atau di sekolah yang ditetapkan.

“Bagi yang tidak mempunyai akses untuk keluar seperti pelajar yang terlantar sakit di rumah atau tinggal jauh di pedalaman maka KKM akan membuat ‘outreach’ dan memberikan suntikan di lokasi mereka,” katanya.

Dr Noor Azmi juga berkata kaedah jumpa terus yang akan bermula Khamis ini akan dilaksana secara berjadual dengan pelajar diberi tarikh dan lokasi pusat pemberian vaksin (PPV) oleh pihak sekolah agar tidak berlaku kesesakan di PPV terbabit.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)