Lebih 60 Pasar Segar Terkawal catat hasil jualan terkini lebih RM11 juta – Ronald Kiandee

KUALA LUMPUR,. Sebanyak 61 lokasi Pasar Segar Terkawal (PST) yang diwujudkan di seluruh negara setakat hari ini mencatatkan hasil jualan keseluruhan terkini melebihi RM11 juta.

Menteri Pertanian dan Industri Makanan (MOA) Datuk Seri Dr Ronald Kiandee berkata pewujudan PST yang dibuka sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) itu adalah bagi terus menjamin bekalan makanan mencukupi buat orang ramai, di samping membantu petugas barisan hadapan industri makanan menjual hasil perusahaan mereka.

“Antara masalah yang dihadapi (oleh orang ramai, nelayan, petani dan penternak) sepanjang tempoh PKP ini adalah banyaknya premis perniagaan ditutup, hanya pasar raya yang mendapat kebenaran sahaja dibenarkan beroperasi,” katanya pada program Ruang Bicara yang bertajuk ‘COVID-19:Jaminan Keselamatan Makanan’ yang disiarkan Bernama TV, malam ini.

“Justeru PST diwujudkan berkonsepkan pasar raya, lengkap dengan persediaan aspek pemeriksaan kesihatan. Ini adalah bagi membantu orang ramai dan petugas barisan hadapan industri makanan negara,” tambahnya.

Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) setakat ini telah membuka 44 lokasi PST manakala Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) sebanyak 17 lokasi PST di seluruh negara, dengan 36 lagi lokasi PST akan dibuka secara berperingkat.

Kiandee berkata antara jualan barangan segar PST adalah sayur-sayuran, buah-buahan, ayam, ikan, daging, barangan runcit dan barangan asas tani.

Jelasnya, pewujudan PST itu juga adalah bagi membendung isu lambakan barangan segar, antaranya sayuran dan buah-buahan daripada masalah tidak terjual akibat PKP, selain memberi jaminan bahawa kerajaan akan terus memastikan bekalan makanan dan sekuriti makanan terus berada pada tahap terbaik.

“Kerajaan melalui MOA dan agensi-agensi di bawah kementerian akan akan terus mengambil langkah untuk memudahkan penghantaran, penjualan, runcit, borong dan sebagainya untuk memastikan barang makanan akan kekal ada di rumah setiap rakyat Malaysia.

“Setakat ini Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri telah memberikan kelulusan beroperasi kepada lebih 4,000 kilang sepanjang tempoh PKP, termasuk yang berkaitan dengan industri makanan, antaranya kilang pemprosesan dan hasil laut, kilang memproses plastik pembungkus makanan dan sebagainya,” jelasnya.

Sementara itu Pengarah Stakeholder Management SOLS24/7 Alya Syahida Allias berkata orang ramai dan juga pertubuhan bukan kerajaan (NGO), seharusnya tahu perkara-perkara yang perlu sekiranya mereka berhasrat memberi apa-apa bentuk sumbangan, bagi mengelak isu pembaziran.

Alya berkata dengan mengenal pasti keperluan kumpulan tertentu, ia juga membantu dari segi kebajikan mereka di samping mengelak isu pembaziran makanan, terutamanya semasa tempoh pelaksanaan PKP.

“Apa sebenarnya keperluan mereka, ia bermula daripada komuniti. Bagi gelandangan ketika ini mereka amat memerlukan keperluan asas dan bantuan pembiayaan, manakala bagi petugas barisan hadapan mungkin mereka perlukan makanan kering, biskut, roti atau mi segera.

“Bagi komuniti di kawasan Projek Perumahan Rakyat (PPR), mereka mungkin mahukan barang-barang keperluan dapur, dan semasa tempoh PKP, kita berusaha bersungguh-sungguh memastikan orang ramai duduk di rumah,” katanya di instragram ‘live’ Tehmina Kaoosji yang bertajuk ‘The Point’ yang membincangkan isu mengenai Keselamatan Makanan dan Pembaziran semasa PKP.

Alya turut menasihatkan NGO yang berhasrat memberi bantuan hanya menyumbang apa yang diperlukan penerima sahaja, dan bukannya hanya menyampaikan apa sahaja barang dihantar penderma.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )