Lebih 6,000 mangsa banjir kini berlindung di 30 PPS

Lebih 6,000 mangsa banjir kini berlindung di 30 PPS

KUALA LUMPUR,. Jumlah mangsa banjir di Kelantan pagi ini terus meningkat, Terengganu pula menunjukkan sedikit pengurangan manakala keadaan di Selangor dan Perak tidak banyak berubah.

Di KELANTAN, seramai 5,327 mangsa daripada 1,688 keluarga ditempatkan di 17 pusat pemindahan sementara (PPS) setakat 9 pagi ini, meningkat berbanding 4,840 orang daripada 1,528 keluarga malam tadi.

Menurut portal Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), di Pasir Mas sebanyak 16 PPS dibuka manakala di Tanah Merah hanya terdapat satu PPS yang beroperasi.

Di TERENGGANU pula, mangsa ditempatkan di 10 PPS berkurangan kepada 812 orang daripada 180 keluarga setakat 8 pagi ini, berbanding 824 mangsa daripada 184 keluarga 8 malam tadi.

Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Terengganu memaklumkan, tiga daerah yang terjejas ialah Dungun membabitkan 583 orang daripada 147 keluarga, Marang (179 orang) dan Setiu (50 orang).

Di SELANGOR, portal Info Bencana JKM menunjukkan 43 mangsa daripada 12 keluarga berada di dua PPS pagi ini, berbanding 39 individu membabitkan 11 keluarga yang dilaporkan malam tadi.

Sekolah Rendah Agama (SRA) Padang Jawa di Klang menempatkan 23 mangsa, manakala Sekolah SK Parit Mahang di Kuala Selangor (20 orang).

Portal Public Infobanjir setakat 8 pagi tadi memaklumkan paras air Sungai Klang di Selat Muara (Klang) dan Sungai Buloh di Parit Mahang (Kuala Selangor), melebihi tahap waspada dengan bacaan masing-masing 2.4 meter (m) dan 3.5m.
Di PERAK, hanya satu PPS beroepasi iaitu di Dewan Serbaguna Padang Tembak, Teluk Intan menempatkan 89 mangsa dari 26 keluarga.

Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Perak juga memaklumkan, paras air di Sungai Bidor, Changkat Jong mencatatkan bacaan bahaya 3.51m ketika ini dengan cuaca di daerah Hilir Perak diramalkan hujan pada petang dan malam nanti.

–BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)