Lebih 610,000 mohon sertai program sukarelawan Sukan Olimpik Musim Sejuk Beijing 2022

Lebih 610,000 mohon sertai program sukarelawan Sukan Olimpik Musim Sejuk Beijing 2022

BEIJING,. Lebih 610,000 orang telah memohon untuk menjadi sukarelawan bagi Sukan Olimpik dan Paralimpik 2022 sejak pengambilan secara global bermula pada 5 Dis, lapor agensi berita Xinhua memetik kenyataan penganjur.

“Setakat 29 Dis, sejumlah 616,000 orang telah berjaya mendaftar,” kata pengarah sumber manusia Beijing 2022 Yan Cheng.

“Pemohon kebanyakannya adalah pelajar, termasuk dari luar negara, yang menyumbang kepada 81 peratus. Pemohon lain termasuk segenap lapisan masyarakat dengan rakan-rakan China di peringkat antarabangsa turut menyumbang bahagian yang besar.”

Yan berkata ciri antarabangsa yang tinggi dalam kalangan pemohon membuktikan bahawa orang ramai dari seluruh dunia menumpukan perhatian kepada persediaan Sukan Musim Sejuk Beijing 2022, dan menunjukkan kesungguhan untuk mengambil bahagian.

Bagi temasya sukan ini, jawatankuasa penganjur akan memilih bakat cemerlang untuk mengambil bahagian dalam kerja-kerja persediaan dan membentuk asas pasukan profesional serta berminda antarabangsa.

Bertemakan “Experience Beijing,” acara ujian pertama bagi Sukan Musim Sejuk 2022 akan berlangsung di Daerah Yanqing pada Februari 2020.

Jawatankuasa penganjur akan mula merekrut sukarelawan bagi 230 acara ujian di universiti-universiti, kata Yan.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )