Lebih banyak sektor ekonomi dibuka sebelum 9 Jun

Lebih banyak sektor ekonomi dibuka sebelum 9 Jun

KUCHING,. Lebih banyak sektor ekonomi di Sarawak akan dibuka sebelum Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat berakhir pada 9 Jun ini, kata Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Douglas Uggah Embas (gambar).

Menurutnya, mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS) yang dipengerusikannya esok akan membincangkan jenis sektor ekonomi tersebut ekoran COVID-19 yang kian reda.

“PKPB (mengenai persoalan lanjutan pelaksanaan) itu terpulang kepada Kuala Lumpur (Kerajaan Persekutuan), tetapi yang pasti kita di Sarawak akan membuka lebih banyak sektor ekonomi sebelum 9 Jun ini,” katanya ketika dihubungi Utusan Borneo, hari ini.

Langkah ini menurutnya berikutan pematuhan sektor ekonomi sudah dibuka yang disifatkannya sebagai amat memuaskan berdasarkan pemantauan pihaknya.

“Sektor ekonomi nampaknya begitu mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan kerana kita mendapati mereka begitu mementingkan kesihatan, bukan sekadar mematuhinya kerana undang-undang,” jelasnya.

Beberapa sektor ekonomi di Sarawak dibuka sejak 12 Mei, apabila ia ditutup sejak pelaksanaan PKP bermula 18 Mac lepas.

Hari ini merupakan hari keenam berturut-turut tiada kes COVID-19 baru dicatatkan di Sarawak.

Sehubungan itu, Uggah amat berpuas hati dengan keberkesanan langkah-langkah pencegahan penularan COVID-19 yang kini menunjukkan penurunan bilangan kes – kekal 552 kes hari ini.

Langkah-langkah tersebut antaranya ialah mengenakan kuarantin terhadap warga Sarawak yang kembali dari luar negeri, menyekat kemasukan pelancong asing sejak Februari 2020, tiada majlis besar sempena Aidilfitri dan Gawai, serta sekatan pergerakan antara daerah.

Menurutnya, kejayaan menurunkan kes baru bukan usaha kerajaan semata-mata, tetapi hasil kerjasama warga Sarawak yang begitu patuh dengan peraturan berkaitan pencegahan COVID-19.

“Kita percaya, kita berada di landasan yang betul dalam usaha memerangi COVID-19. Kita minta agar rakyat mengekalkan disiplin tinggi, amalan penjagaan kebersihan dan penjarakan sosial,” katanya.

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )