Lee Tuck, Aguero kini bergelar pemain tempatan

Lee Tuck, Aguero kini bergelar pemain tempatan

KUALA LUMPUR,. Rayuan Sri Pahang FC untuk mendaftarkan pemain naturalisasi Lee Tuck dan Sergio Aguero sebagai pemain tempatan dalam Liga Malaysia 2022 kini telah diluluskan Liga Bolasepak Malaysia (MFL).

MFL dalam satu kenyataan semalam memaklumkan keputusan tersebut dibuat menerusi persetujuan Ahli Lembaga Pengarah MFL dan pendaftaran Tuck yang dilahirkan di Huddersfield, England serta Aguero dari Argentina, akan berkuat kuasa pada pertandingan Piala Malaysia 2022.

Sri Pahang sebelum ini telah mendaftarkan Tuck dan Aguero sebagai pemain tempatan dalam tempoh pendaftaran kedua pada 28 Mei hingga 24 Jun lepas.

Sementara itu, MFL memaklumkan pindaan Perkara 3.4.9 (ii) Peraturan Pertandingan, Manual Liga Malaysia dikuatkuasakan secara serta-merta bagi mengelakkan percanggahan antara Perlembagaan Malaysia dan Peraturan Pertandingan MFL.

“Oleh yang demikian, setelah mengkaji rayuan Sri Pahang FC mengenai perkara ini, MFL berpendapat bahawa implementasi peraturan pemain yang memperoleh kewarganegaraan di bawah Perkara 3.4.9 (ii) Peraturan Pertandingan, Manual Liga Malaysia, bercanggah dengan Perlembagaan Malaysia.

“Maka, peraturan pemain yang memperoleh kewarganegaraan akan dipinda dan berkuat kuasa serta-merta yakni implementasi peraturan tambahan lima tahun bagi pemain naturalisasi tidak lagi sesuai diguna pakai,” menurut kenyataan itu.

Bagaimanapun, MFL menegaskan kelulusan mana-mana pemain naturalisasi akan dibuat berdasarkan Peraturan Kelayakan yang termaktub dalam Statut Persekutuan Bolasepak Dunia (FIFA) iaitu tinggal selama lima tahun berturut-turut di negara tersebut sebelum boleh didaftarkan sebagai pemain tempatan.

Pada 17 Ogos tahun lepas, Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) telah membuat keputusan untuk menghentikan program naturalisasi, namun pasukan Liga Malaysia masih boleh membuat permohonan kepada kerajaan untuk menaturalisasikan pemain masing-masing.

Malaysia sebelum ini sudah mempunyai tiga pemain naturalisasi iaitu Mohamadou Sumareh, Liridon Krasniqi dan Guilherme De Paula yang pernah menyarung jersi Harimau Malaya.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )