Lelaki warga Thailand ditahan miliki pil kuda bernilai RM360,000

Lelaki warga Thailand ditahan miliki pil kuda bernilai RM360,000

KOTA BHARU: Seorang lelaki warga Thailand ditahan bersama 36,000 biji pil kuda dianggarkan bernilai RM360,000, selepas dilihat dalam keadaan mencurigakan di tepi sebuah masjid di Lubok Gong Rantau dekat Rantau Panjang, Pasir Mas, semalam.

Ketua Polis Daerah Pasir Mas, ACP Mohd Nasaruddin M Nasir berkata dalam kejadian pada pukul 6.30 petang itu, suspek yang membawa sebuah beg lut sinar cuba melarikan diri ketika dihampiri polis namun berjaya ditahan selepas berlaku sedikit pergelutan.

“Pemeriksaan yang dilakukan mendapati beg lut sinar yang dibawa suspek berisi 36,000 biji pil kuda dengan anggaran nilai RM360,000

“Hasil soal siasat, suspek mengaku dadah itu miliknya yang diperoleh juga daripada seorang lelaki Thailand dengan nama panggilan “Abe” yang tinggal di Kampung Bukit Tambon Narathiwat,Thailand,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau berkata suspek turut mengaku bahawa semalam adalah kali terakhir dia mendapat bekalan dadah daripada “Abe” sebelum ditahan.

Mohd Nasaruddin berkata kes akan disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman mati mandatori.

-BERNAMA

CATEGORIES
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)