Lepas suspek Macau Scam: Empat termasuk kakitangan JIM ditahan

Lepas suspek Macau Scam: Empat termasuk kakitangan JIM ditahan

GEORGE TOWN,. Polis Pulau Pinang menahan tiga orang awam dan seorang kakitangan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), bagi membantu siasatan berhubung kes sekumpulan pegawai polis yang melepaskan suspek Macau Scam, bulan lepas.

Ketua Polis negeri Datuk Sahabudin Abd Manan berkata, empat lelaki itu ditahan secara berasingan di sekitar Pulau Pinang baru-baru ini, dan dipercayai mereka mempunyai kaitan dengan empat pegawai polis yang ditahan terlibat dalam kes tersebut.

“Selain empat pegawai polis iaitu masing-masing dua berpangkat Inspektor ditahan 12 Februari dan dua ASP yang ditahan 15 Februari lalu, kami turut menahan empat lelaki berkenaan dipercayai mempunyai kaitan dengan kes membebaskan 11 suspek Macau Scam warga China.

“Empat pegawai polis itu bertugas di Bahagian Siasatan Jenayah Komersial Ibu Pejabat Polis Daerah Timur Laut, mereka kini masih bertugas di situ namun di bawah pemantauan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Pulau Pinang, saya juga telah mengesyorkan semua mereka (pegawai polis) ditukarkan ke bahagian lain yang tiada berkaitan dengan operasi serta siasatan,” katanya pada sidang akhbar di sini semalam.

Katanya siasatan kes itu yang dijalankan oleh pasukan khas Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Pulau Pinang hampir siap, dan pihaknya ketika ini sedang menunggu mendapatkan beberapa laporan kimia berhubung kes tersebut, sebelum menghantar ke Pejabat Timbalan Pendakwa Raya bagi tindakan lanjut.

Sahabudin berkata siasatan kes itu dijalankan menurut Seksyen 217 Kanun Keseksaan.

Katanya semua lapan lelaki berusia 20 hingga 60-an termasuk empat pegawai polis itu, dibebaskan dengan jaminan polis sementara pihaknya melengkapkan kertas siasatan.

“Secara jujurnya saya sangat kecewa dengan kejadian itu dan sebaik dimaklumkan suspek tidak sampai (kepada JIM), saya terus arahkan pasukan khas JSJ untuk menjalankan siasatan secara terperinci dan saya juga beri jaminan kes tersebut dijalankan secara telus serta adil, tanpa melindungi mana-mana pihak,” katanya.

Semalam Pengarah Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Datuk Zamri Yahya dilaporkan sebagai berkata, seramai 11 tahanan Macau Scam berkenaan dikatakan diserahkan kepada seorang ‘pegawai’ JIM, untuk dihantar ke depoh tahanan tetapi tidak dihantar seperti sepatutnya.

Siasatan setakat ini mendapati, terdapat pelanggaran serius kepada prosedur operasi standard (SOP) pegawai polis, dalam pengendalian serta penyerahan semua 11 suspek Macau Scam dan JIPS akan mengesyorkan, supaya pegawai terbabit ditahan kerja untuk membolehkan siasatan yang lebih terperinci dijalankan.

— Bernama

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )