Lesen penanam sawit 40.47 hektar ke atas digantung jika gagal mendapat sijil MSPO

Lesen penanam sawit 40.47 hektar ke atas digantung jika gagal mendapat sijil MSPO

KUALA LUMPUR,. Penanam sawit yang mempunyai ladang berkeluasan 40.47 hektar (100 ekar) ke atas akan dikenakan tindakan gantung lesen sekiranya gagal menjalani Pensijilan Minyak Sawit Mampan Malaysia (MSPO), kata Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB).

Menurutnya, ia akan menguatkuasakan peraturan pelesenan pada tarikh pelaksanaan mandatori pensijilan MSPO pada 1 Januari 2020.

“Kegagalan penanam sawit mendapatkan pensijilan MSPO atau memulakan proses pensijilan MSPO pada tarikh kuat kuasa merupakan satu kesalahan yang boleh diambil tindakan perundangan dan menyebabkan lesen digantung, dibatal atau tidak diperbaharui sebagaimana yang diperuntukkan di bawah peraturan 15, Peraturan-Peraturan Lembaga Minyak Sawit Malaysia (Pelesenan) 2005.

“Pelaksanaan pensijilan MSPO secara mandatori akan bermula 1 Januari 2020, selaras dengan pengumuman kerajaan pada 24 Februari 2017,” kata MPOB dalam kenyataan hari ini.

Pelaksanaan mandatori pensijilan MSPO bertujuan untuk meningkatkan imej minyak sawit negara daripada perspektif kemampanan di samping memenuhi permintaan pasaran antarabangsa bagi minyak sawit yang disijilkan mulai tahun 2020.

Ini juga selaras dengan usaha kerajaan untuk mengukuhkan komoditi sawit dan memartabatkan industri sawit mampan Malaysia di pasaran global.

Sehingga 31 Ogos 2019, keluasan tanaman kelapa sawit yang telah dipersijilkan adalah 2,956,925 hektar atau 50.6 peratus daripada jumlah keluasan 5.85 juta hektar termasuk pekebun kecil.

Sementara bagi kategori kilang buah kelapa sawit, sebanyak 288 buah kilang atau 64.29 peratus daripada keseluruhan 448 buah kilang telah berjaya dipersijilkan.

“Sehubungan itu, kesemua pekebun kecil, estet dan kilang buah kelapa sawit yang masih belum memperoleh sijil MSPO atau memulakan proses pensijilan digesa agar segera mendapatkan pensijilan MSPO.

“Bagi tujuan tersebut, pekebun kecil boleh menghubungi Pusat Piawaian Kemampanan dan Pensijilan, MPOB di talian 03-89110179/0180/0182/0193 manakala bagi kategori estet dan kilang buah kelapa sawit mereka boleh menghubungi Majlis Pensijilan Minyak Sawit Malaysia di talian 03-21810192″.

Sementara itu, kerajaan juga telah memperuntukkan dana insentif MSPO bagi meringankan beban yang ditanggung oleh pihak industri sawit dalam melaksanakan keperluan pensijilan MSPO dan hanya mereka yang berjaya mendapatkan pensijilan atau memulakan proses pensijilan sebelum 1 Januari 2020 sahaja layak menerima insentif ini.

Mulai 2020, semua kos pensijilan perlu ditanggung sendiri tanpa insentif kerajaan.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )