Lewat tukar tayar ragut peluang Hamilton

Lewat tukar tayar ragut peluang Hamilton

SINGAPURA,. Lewis Hamilton yakin Mercedes memiliki jentera lumba yang boleh memenangi GP Singapura tetapi kesilapan strategi di pertengahan perlumbaan menyebabkannya terpaksa berpuas hati di tangga keempat, semalam.

Hamilton bermula di barisan hadapan bersama pemenang petak utama, Charles Leclerc dan Sebastian Vettel dengan pemandu Red Bull, Max Verstappen di belakangnya.

Namun kesilapan berlaku apabila Mercedes memilih untuk mengarahkan Hamilton terus berada di litar ketika pelumba lawan sudah memasuki pit untuk menukar tayar, langkah itu nyata memakan diri apabila Hamilton ketinggalan di belakang pelumba Ferrari dan Red Bull.

“Ia bukanlah perlumbaan seperti yang kami mahukan sama sekali. Saya mengejar Charles dan saya fikir ada kelajuan untuk memenangi perlumbaan itu,” kata Hamilton kepada wartawan. Perlumbaan itu dimenangi pelumba Ferrari, Vettel-Leclerc manakala Verstappen di tempat ketiga.

“Pagi ini (semalam) kami berbincang kemungkinan memintas dan saya mahu mengambil risiko tapi Ferrari mengambil keputusan untuk memasuki box (pit), jadi kami lakukan sebaliknya.

“Saya terus memecut dan keadaan tayar juga bagus, tetapi selepas beberapa pusingan, keadaan tayar makin perlahan. Kami melakukan kesilapan malam ini, tapi untuk pasukan, kami tetap menang, kami menang dan kalah bersama.

“Kita tidak menuding kesalahan ke arah orang lain, itu kekal sebagai falsafah kami dan perkara itu tidak akan diubah hanya kerana kesilapan dalam satu perlumbaan.

“Kami mencabar pasukan Ferrari yang dahagakan kemenangan dan berusaha keras untuk menang,” katanya merujuk kepada pasukan Itali yang sudah mengutip tiga kemenangan perlumbaan terakhir.

“Setiap daripada kami sudah melakukan kerja dengan baik. Saya percaya kami kekal pasukan terbaik, tapi kami perlu terus berikan cabaran. Kami akan bangkit pada perlumbaan seterusnya.

Meskipun gagal memenangi perlumbaan, Hamilton kekal mendahului pencabar terdekat yang juga rakan sepasukan, Valtteri Bottas dengan beza 65 mata tatkala berbaki enam perlumbaan.

GP seterusnya akan berlangsung di Sochi, Russia pada 29 September ini. – AFP

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)