Lima dikesan positif COVID-19 ketika saringan ke Langkawi

KUALA LUMPUR,. Lima individu didapati positif COVID-19 selepas menjalani saringan sebelum berlepas melalui jalan udara dan laut ke Pulau Langkawi setakat 12 tengah hari tadi, kata Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.

Dr Noor Hisham berkata kesemua kes positif itu adalah kategori satu iaitu tidak bergejala.

“Kes-kes ini telah diberikan perintah Pengawasan dan Pemerhatian di Rumah (HSO) untuk diisolasi bagi tempoh 10 hari,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata sehingga 12 tengah hari tadi seramai 2,546 orang disaring sebelum berlepas ke pulau peranginan itu melibatkan 1,250 orang disaring di empat pintu masuk lapangan terbang dan 1,296 orang melalui terminal feri di Kuala Perlis.

Katanya daripada jumlah itu, enam orang menjalani ujian RT-PCR sendiri sebelum ke lapangan terbang, dan kesemua keputusan adalah negatif, manakala 12 kanak-kanak di bawah enam tahun tidak menjalani ujian dan dibenar berlepas bersama keluarga masing-masing.

Kerajaan sebelum ini mewajibkan individu yang mahu melancong ke Pulau Langkawi di bawah projek rintis gelembung pelancongan domestik yang bermula hari ini supaya menjalani ujian saringan COVID-19 selain lengkap divaksinasi sebelum berlepas ke pulau itu.

Sementara itu, Dr Noor Hisham mengingatkan pelancong yang bergejala sama ada semasa tempoh melancong atau setelah pulang dari Pulau Langkawi agar segera mendapatkan rawatan awal atau melakukan ujian kendiri bagi membendung penularan COVID- 19.

“Sekiranya kita mengambil mudah kelonggaran yang diberikan, tidak mustahil situasi jangkitan menjadi lebih teruk.

Kerajaan juga perlu memastikan mereka yang ingin melancong ke pulau itu perlu menerima vaksinasi lengkap, bukan merupakan kes positif, dan bukan kontak rapat kepada kes positif,” katanya.

KKM juga katanya akan sentiasa menambah baik dan memudah cara proses serta pelaksanaan pengujian saringan dari semasa ke semasa agar ianya berjalan lancar dan berkesan.

Mengenai perincian kes hari ini, Dr Noor Hisham berkata jumlah kes sembuh yang dilaporkan setakat 12 tengah hari ini adalah 16,939 kes.

Dr Noor Hisham berkata daripada 18,815 kes baharu yang dilaporkan hari ini, sejumllah 18,593 kes atau 98.8 peratus adalah dalam kategori satu (tidak bergejala) dan dua (bergejala ringan).

“Sebanyak 222 kes atau 1.2 peratus adalah kategori tiga (radang paru-paru), empat (perlu bantuan oksigen) dan lima (perlu bantuan pernafasan),” katanya.

Beliau berkata sejumlah 913 kes yang disahkan COVID-19 kini dirawat di unit rawatan rapi (ICU) dengan 422 kes memerlukan bantuan penafasan.

Sebanyak 21 kluster dikesan dalam tempoh 24 jam lepas melibatkan sembilan kluster di tempat kerja; enam kluster komuniti; dua kluster kumpulan berisiko tinggi; tiga kluster pendidikan lain dan satu kluster pusat tahanan.

Data kematian akan ia dimuat naik dan dipaparkan menerusi laman Github dan laman web COVIDNOW di https://covidnow.moh.gov.my.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )