Lima pemilik premis perniagaan di Terengganu dikompaun langgar SOP

Lima pemilik premis perniagaan di Terengganu dikompaun langgar SOP

KUALA TERENGGANU,. Meskipun prosedur operasi standard (SOP) dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) telah banyak kali diingatkan, masih terdapat peniaga yang enggan mematuhinya.

Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Terengganu Saharuddin Mohd Kia berkata pihaknya telah mengesan lima pemilik premis yang masih melanggar arahan dan kesemua mereka dikompaun sebanyak RM1,000 seorang.

Katanya, dalam operasi yang dilakukan semalam, tiga pemilik premis yang dikompaun ialah di Kemaman dan dua premis lagi di Kuala Terengganu.

“Kesemua pemilik perniagaan tersebut dikompaun kerana melanggar peraturan dalam tempoh PKP di bawah Peraturan 15 iaitu Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) (Kawalan Pergerakan) 2021.

“Kesalahan yang dilakukan ialah gagal menyediakan peralatan untuk merekod butiran diri dan peralatan suhu selain gagal mengawal laluan masuk pelanggan tanpa merekodkan maklumat secara manual atau melalui aplikasi MySejahtera,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sehubungan itu, beliau menggesa pengusaha perniagaan dan orang ramai agar sentiasa mematuhi SOP bagi membendung penularan wabak COVID-19 bagi mengelak tindakan tegas diambil terhadap mereka.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )