Lima pusat pemindahan banjir dibuka di Baling

Lima pusat pemindahan banjir dibuka di Baling

ALOR SETAR,. Lima Pusat Pemindahan Sementara (PPS) dibuka di Mukim Siong dan Bongor di Baling pagi tadi bagi menempatkan 94 penduduk daripada 32 keluarga yang terjejas akibat banjir berikutan hujan berterusan sejak petang semalam.

Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Baling, Leftenan (PA) Mohd Faizol Ab. Aziz berkata hujan lebat selama beberapa jam sejak petang semalam menenggelamkan beberapa kawasan rendah termasuk kediaman penduduk terutama yang berhampiran dengan sungai.

Beliau berkata antara kampung terbabit ialah Kampung Baru, Kampung Lalang, Kampung Lahar, Kampung Surau, Kampung Lubuk Batu dan Kampung Tanjung Merbau.

Katanya semua PPS dibuka pada 7 pagi tadi, iaitu di Dewan Kampung Lalang, surau Kampung Baru, Dewan Orang Ramai Kampung Banggol Derom, surau Kampung Lahar dan Dewan Orang Ramai Batu 48.

“Setakat 8 pagi tadi, 22 daripada sembilan keluarga telah berpindah ke PPS Dewan Kampung Lalang, tujuh daripada tiga keluarga ditempatkan di surau Kampung Baru, manakala 21 daripada lima keluarga di Dewan Orang Ramai Kampung Banggol Derom.

“Seramai 25 mangsa daripada tujuh keluarga ditempatkan di Surau Kampung Lahar dan 19 daripada lapan keluarga lagi ditempatkan di Dewan Orang Ramai Batu 48,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Mohd Faizol berkata, anggota APM bersama Penghulu Mukim serta penyelaras Parlimen Baling serta agensi terlibat kini sedang membantu mangsa banjir di pusat pemindahan.

“Saya menasihatkan penduduk agar berpindah sekiranya air mulai naik demi keselamatan dan memastikan segala dokumen penting diletakkan di tempat selamat,” katanya.

Beliau berkata pihaknya juga sedang memantau perkembangan banjir dan akan memindahkan penduduk yang terjejas secepat mungkin bagi mengelak kejadian tidak diingini.

Orang ramai yang memerlukan bantuan boleh menghubungi Pejabat APM di talian 04-4701546 atau Bilik Gerakan APM (24 Jam) di nombor 04-4701626.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)