Lintas langsung PM ‘bonus’ pengisian siaran Bernama catat MBOR
KUALA LUMPUR,. Lintas langsung Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dari Kuching, Sarawak memberi nilai tambah pengisian siaran Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) dalam usahanya mencatat rekod Siaran Langsung Kebangsaan Pelbagai Bahasa Tanpa Henti Paling Lama dalam Malaysia Book of Records (MBOR) 2019 sempena sambutan Hari Malaysia.
Pengerusi Jawatankuasa Kandungan program itu, Hakimi Mohd Zain berkata, kandungan siaran merupakan usaha wartawan Bernama News Channel (BNC) Hillman Jamil yang berjaya mendapatkan Dr Mahathir dan isteri Tun Dr Siti Hasmah Mohamad Ali yang berada di Bumi Kenyalang untuk sambutan Hari Malaysia 2019 bagi tujuan temu ramah selama kira-kira lima minit pada jam 8.05 malam.
“Temu ramah secara langsung itu tanpa dirancang dan tidak dalam jadual kami. Tetapi ia satu kejutan apabila Hillman berjaya mendapatkan temu bual ringkas ketika PM bersiap untuk menghadiri sambutan Hari Malaysia di Stadium Perpaduan.
“Gaya PM memberi respons adalah baik dan tenang. Kami boleh mengatakan sesi secara langsung itu memberi kami bonus dalam usaha kami mencatatkan nama dalam MBOR 2019,” katanya kepada Bernama.
Siaran langsung tanpa henti bermula 7 pagi tadi sehingga 9 pagi esok menyajikan informasi berguna bersempena dengan Hari Malaysia dengan menyiarkan pelbagai rancangan interaktif dan bual bicara dalam empat bahasa menerusi semua saluran Bernama iaitu BNC, Bernama Radio, Bernama.com serta semua platform media sosial agensi berita itu.
Hampir mencecah siaran selama 17 jam, Hakimi, yang juga Ketua Pegawai Operasi BNC, berkata, reaksi penonton setakat ini amat menggalakkan dan memotivasikan kru penerbitan untuk terus optimis dalam usaha mencatat rekod.
“Ada satu komen yang kami terima berbunyi : Wawancara BNC dengan Felo Akademi Sains Malaysia, Prof Madya Dr Madeline Berma, orang Iban Sarawak adalah yang terbaik pernah saya tonton.
“Jadi perkara-perkara seperti ini member motivasi dan baik untuk kami. Dua pegawai MBOR juga turut bersama kami hari ini bagi tujuan rekod,” katanya.
Program siaran itu membuka tirai dengan lintas langsung bersama Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM), Datuk Suriani Ahmad di Kuching bagi sambutan Hari Malaysia.
Siaran tanpa henti itu juga akan menampilkan program bual bicara bersama ahli politik, tokoh korporat, atlet dan selebriti termasuk liputan berita bersempena sambutan itu serta di tempat lain.
‘Siaran Langsung Kebangsaan Pelbagai Bahasa Tanpa Henti Paling Lama’ yang mendapat tajaan Terra Security, Maad Travel dan Fomema Sdn Bhd itu turut menyiarkan pelbagai berita menarik dan lintas langsung melibatkan kira-kira 300 editor/penyunting, wartawan dan wartawan penyiaran, penerbit, jurukamera, kru teknikal serta jabatan lain di bawah Bernama.
Lintas langsung turut melibatkan wartawan di biro-biro seluruh negara serta pewarta di luar negara seperti di Jakarta dan Singapura.
Penonton dan pendengar juga berpeluang memenangi hadiah bernilai RM81,000 termasuk satu pakej percutian untuk dua orang ke Pulau Jeju, Korea Selatan dengan menjawab kuiz mengenai Hari Kemerdekaan, Hari Malaysia dan Bernama yang ke udara setiap satu jam.
Program itu bersiaran di BNC saluran Astro 502, UnifiTV (631), MYTV (121), iflix, dan Bernama Radio melalui FM93.9 (Kuala Lumpur), FM107.5 (Johor Bahru), FM100.9 (Kuching) dan FM 107.9 (Kota Kinabalu).
— BERNAMA