Liputan 4G Malaysia kini capai 96 peratus

PADANG BESAR,. Liputan rangkaian generasi keempat (4G) di seluruh negara kini mencapai 96 peratus, selari dengan sasaran liputan 96.9 peratus menjelang akhir 2022 di bawah inisiatif Pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA) yang dilancar tahun lepas.

Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Zahidi Zainul Abidin berkata negara dijangka mampu mencapai liputan penuh 4G dalam masa dua tahun lagi berikutan usaha yang giat dilakukan oleh kerajaan bersama agensi berkaitan.

“Apabila semua kawasan telah mencapai 4G, kita akan usaha menaik taraf liputan kepada rangkaian generasi kelima (5G) pula,” katanya ketika menghadiri Program Komuniti Keluarga Malaysia di Masjid Othmaniah, di sini hari ini.

Zahidi yang juga Ahli Parlimen Padang Besar, berkata pelbagai isu terpaksa dihadapi dalam usaha meningkatkan kesalinghubungan seperti pembinaan menara pemancar yang melibatkan banyak proses dan memakan masa termasuk membabitkan perbincangan dengan pemilik serta kerajaan negeri, namun perkara ini akan diselesaikan.

“Kita harap rakyat bersabar dan memberi sedikit masa kepada kerajaan untuk berusaha meningkatkan capaian internet khususnya di kawasan luar bandar,” katanya yang turut menasihati orang ramai agar tidak mudah terpengaruh atau menyebarkan berita palsu demi kebaikan semua.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )