Liputan 5G Sarawak Meningkat Dari 62.5 Peratus Pada September 2024 Kepada 63.8 Peratus Kawasan Berpenduduk

Liputan 5G Sarawak Meningkat Dari 62.5 Peratus Pada September 2024 Kepada 63.8 Peratus Kawasan Berpenduduk

KUCHING, 8 Feb – Liputan 5G di Sarawak kini mencapai 63.8 peratus di kawasan berpenduduk berbanding 62.5 peratus pada Sepetember 2024, manakala rangkaian 4G merekodkan 84.8 peratus setakat suku keempat 2024, menurut Pihak Berkuasa Multimedia Sarawak (SMA).

Pengurus Besarnya, Datuk Anderson Tiong Ing Heng, berkata pihaknya terus memperkukuh keselamatan siber melalui Program CyberSarawak serta mengoptimumkan tadbir urus data dalam pentadbiran negeri.

“Kami telah menganjurkan bengkel bagi meningkatkan kesedaran tentang kepentingan pengurusan data yang cekap,” katanya pada Majlis Makan Malam Tahun Baharu Lunar SMA 2025 yang turut dihadiri Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg, malam tadi.

Beliau turut menghargai usaha Digital Nasional Berhad (DNB) dalam memperluas infrastruktur 5G serta kerjasama syarikat telekomunikasi dalam memperkukuh kesalinghubungan negeri.

Jalur Lebar Luar Bandar Diperkasa
Bagi memperluaskan akses internet, SMA sedang melaksanakan projek jalur lebar luar bandar berkelajuan tinggi di 11 lokasi terpilih.

“Projek ini melibatkan pemasangan lebih 1,000 kilometer gentian optik bagi memastikan kawasan terpencil turut mendapat capaian rangkaian yang stabil,” katanya.

Sarawak Sasar Hab Teknologi Angkasa
SMA kini bekerjasama dengan Kementerian Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak untuk merangka Pelan Hala Tuju Industri Angkasa Lepas negeri, dengan matlamat menjadikannya sebagai hab teknologi angkasa serantau.

“Tumpuan diberikan kepada pembuatan satelit, pembangunan tapak pelancaran serta pembinaan ekosistem industri angkasa yang mampan,” tambahnya.

Usaha ini selari dengan aspirasi Sarawak untuk muncul sebagai negeri berasaskan ekonomi digital menjelang 2030.

gerbangpost.com

CATEGORIES
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )