Liverpool berhak dinobat juara – Gundogan

Liverpool berhak dinobat juara – Gundogan

LONDON,. Pemain tengah Manchester City, Ilkay Gundogan berkata Liverpool berhak dinobatkan sebagai juara Liga Perdana Inggeris sekiranya saingan musim ini tidak dapat diteruskan akibat COVID-19.

Bercakap kepada stesyen televisyen Jerman, ZDF, pemain berusia 29 tahun itu, berkata dengan kelebihan 25 mata dimiliki Liverpool ke atas City yang berada di tangga kedua, tiada sebab skuad bimbingan Jurgen Klopp perlu dinafikan hak untuk muncul juara selain pasukan itu hanya memerlukan dua lagi kemenangan untuk mengesahkan kejuaraan.

“Bagi saya, ia ok,” kata Gundogan ketika ditanya sama ada Liverpool wajar dinobatkan juara liga buat kali pertama dalam tempoh 30 tahun sekiranya saingan musim ini tidak dapat diteruskan.

“Kamu perlu berlaku adil sebagai seorang ahli sukan.

“Terdapat perbezaan pendapat dalam hal ini. Untuk kelab yang mengharungi musim cemerlang, ia pastinya tidak adil untuk mereka jika saingan dibatalkan. Namun, berbeza pula dengan kelab yang menunjukkan prestasi buruk atau berada di zon penyingkiran…ia mungkin sesuai untuk mereka.”

Saingan Liga Perdana ditangguhkan sehingga 30 April depan tetapi besar kemungikinan ia akan dilanjutkan lagi.

Gundogan yang juga pemain antarabangsa Jerman, berkata dia terbuka gajinya dipotong sekiranya kelab Inggeris mengikut jejak langkah Juventus dan Borussia Dortmund yang memotong gaji pemain dan kakitangan pasukan.

“Sudah pasti ia sesuatu keputusan yang baik, saya tidak akan membantah. Namun, buat masa ini belum ada perbincangan lagi mengenai perkara itu.

“Ia mungkin disebabkan kelab Inggeris mempunyai kewangan yang lebih kukuh berbanding kelab di Jerman.

“Saya tidak pasti siapa yang akan membuat keputusan dalam hal ini. Secara peribadi saya tidak kisah kerana kita perlu ada sikap tolak ansur. Namun, jika ada pemain yang membantah, ia juga perlu diterima,” katanya. – Reuters

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)