Liverpool berpeluang jadi juara hujung minggu ini

Liverpool berpeluang jadi juara hujung minggu ini

LONDON,. Jarang penyokong Liverpool meraikan kemenangan Manchester United tetapi kejayaan The Red Devils menumbangkan Manchester City, awal pagi tadi meletakkan skuad bimbingan Jurgen Klopp menghampiri trofi kejuaraan Liga Perdana Inggeris musim ini.

Malah, skuad The Reds kemungkinan hanya dipisahkan lima hari lagi untuk menamatkan penantian selama 30 tahun bagi muncul juara liga dan mungkin ditabalkan sebagai juara tanpa perlu menyepak bola.

Gol daripada Anthony Martial dan Scott Mc Tominay membolehkan United menewaskan City 2-0 dan itu bermakna Liverpool hanya perlu menang dua lagi perlawanan untuk merekodkan kejuaraan liga buat kali ke-19.

Ada kemungkinan juga, anak buah Klopp ditabalkan sebagai juara tanpa perlu menyepak bola minggu depan dengan City akan beraksi dua kali sebelum Liverpool kembali membuat penampilan dalam saingan domestik.

City yang mempunyai baki perlawanan di tangan akan melayan kunjungan Arsenal, awal pagi Khamis ini – perlawanan yang terpaksa dijadualkan semula susulan aksi final Piala Liga yang menyaksikan City menewaskan Aston Villa.

Dua hari kemudian, City akan sekali lagi beraksi dalam saingan liga apabila mereka melayan kunjungan Burnley di Stadium Etihad

Jika mereka tewas kedua-dua perlawanan itu, Liverpool akan disahkan sebagai juara liga.

Bagaimanapun, jika City hanya menang satu daripada dua perlawanan itu, Liverpool yang akan berkunjung ke Everton, awal pagi Selasa ini berpeluang muncul juara jika memenangi aksi di Goodison Park itu.

Namun, sekiranya City mengumpul mata maksimum dalam kedua-dua perlawanan, Liverpool mampu mengesahkan kejuaraan mereka seawal 21 Mac ini dengan memenangi dua perlawanan mereka seterusnya.

Ia termasuklah perlawanan dengan Everton sebelum melayan kunjungan Crystal Palace di Anfield. – Agensi

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)