Liverpool dinobatkan juara lebih awal akhiri kemarau 30 tahun

Liverpool dinobatkan juara lebih awal akhiri kemarau 30 tahun

LONDON,. Liverpool dinobatkan juara Liga Perdana Inggeris tanpa menendang bola selepas Chelsea menewaskan Manchester City 2-1 awal pagi tadi sekali gus menamatkan penantian 30 tahun gelaran Inggeris itu.

Skuad Jurgen Klopp mengesahkan gelaran ke-19 kelab dengan rekod baki tujuh perlawanan selepas City di tangga kedua ketinggalan 23 mata.

Liverpool hanya memerlukan dua mata untuk mengakhiri kemarau mereka selepas membelasah Crystal Palace 4-0 di Anfield, semalam.

Selepas kemenangan ke-28 daripada 31 perlawanan musim ini, bintang Liverpool, Mohamed Salah menegaskan ‘sekarang detik untuk kami menjuarai liga’ dan 24 jam kemudian hajatnya tercapai.

Liverpool mendapat apa yang diimpikan selama ini daripada Chelsea di Stamford Bridge.

Penalti Willian pada minit ke-78 selepas bola terkena tangan Fernandinho mengakhiri penguasaan City selama dua tahun sebagai juara bertahan. Tuan rumah sebelum itu terlebih dahulu di depan hasil jaringan Christian Pulisic sebelum disamakan Kevin De Bruyne.

Liverpool juga kelab paling awal mengesahkan kejuaraan berbanding juara Liga Perdana yang lain mengatasi rekod baki lima perlawanan dikongsi bersama City dan Manchester United.

CATEGORIES
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)